Thursday, December 17, 2009

Perjalanan lebih penting.


Tiga hari berturut-turut hujan waktu petang.

Hujan lebat petang Khamis, 17 Dec 2009, 30 Zulhijjah 1430 bagai petanda antara waktu yang bagus berdoa. Saya bersyukur dan gembira kerana dapat menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 ini bersama-sama ahli kariah Masjid Tanjung Kling.

Majlis bermula jam 6.30 petang, pakcik-pakcik, makcik-makcik, abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik mula berkumpul di Masjid Tanjung Kling untuk membaca doa akhir tahun. Kami semua memohon moga-moga dengan Rahmat Allah, dosa-dosa kami sepanjang tahun 1430H ini diampunkanNya. Ameen.

Waktu maghrib masuk pada pukul 7.07 petang. Bilal Hj. Abu Bakar melaungkan azan mengajak ahli-ahli kariah yang lain datang berjemaah. Usai solat magrib, doa awal tahun 1431H dibaca beramai-ramai, diketuai oleh Imam 1 Masjid Tg. Kling Ustz. Hj. Abd. Razak Solhan (Abah).


Abah mengetuai bacaan Yasin beramai-ramai.

Suatu nikmat keseronokan yang sukar untuk digambarkan bila saya melihat dan berada sekali di sebuah majlis keramaian, yang mana hati-hati orang ramai dihubungkan dengan niat murni masing-masing iaitu mengesakan Allah. Bacaan Yasin bersempena dengan malam Jumaat, diikuti oleh bacaan ratib Hadad (zikir-zikir).

Selesai solat Isya' berjemaah, ahli-ahli kariah dihidangkan dengan berbagai juadah seperti bubur lambuk, pulut kuning, ketupat, roti canai, kuih bahulu dan bermacam-macam lagi juadah. Juadah ini disumbangkan oleh ahli kariah dengan harapan, ahli-ahli kariah yang lain mendoakan supaya Allah menyempurnakan hajat-hajat mereka yang menyumbang makanan tersebut.

Saya seperti biasa makan dengan perlahan-perlahan (ke makan banyak, orang lain dah balik, saya makan lagi). Hehe.


Juadah disumbangkan oleh orang-orang kampung.

Ini suatu permulaan yang baik untuk tahun yang baik, namun, saya fikir, perjalanan itu yang lebih penting, istiqamah / konsisten dalam memajukan diri, setiap jam, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan hingga datang tahun berikutnya.

Maal Hijrah, Bersama Hijrah.

Amirul Faiz Abd. Razak

No comments:

Post a Comment