Sunday, December 27, 2009

Interaksi antara ahli kariah.




Moga doaku diperkenankan Allah. Ameen.

Sudah 10 hari berlalu dalam tahun baru 1431 H ini. Alhamdulillah, saya berkesempatan turut serta dalam aktiviti majlis membaca doa sempena 10 Muharram yang lalu. Seronok kan bila kita berkumpul, lebih-lebih lagi atas dasar ikatan persaudaraan sesama Muslim.

Abah bersemangat sungguh hari ini, pagi-pagi lagi abah dan rakan-rakannya mula menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur asyura. Antara yang saya paling ingat ialah, abah kata "bubur asyura ni special sebab ada tujuh jenis kacang". Sejuk mata memandang apabila ada juga anak-anak muda belia yang turut serta dalam kerja-kerja memasak bubur asyura ini.


Abah dan pasukan tukang masak.

Waktu untuk memberikan bubur asyura itu kepada ahli kariah Masjid Tg. Kling ialah selepas waktu asar. Aktiviti selepas solat asar, berzikir sempena hari asyura ini dan kemudian, barulah bubur asyura diberi kepada orang ramai. Geli hati saya melihatkan telatah anak-anak kecil yang berebut mendapatkan bubur asyura, sedangkan ada banyak bubur untuk semua orang, cukup untuk semua yang hadir.


Budak-budak membawa bekas untuk isi bubur masing-masing.

Dalam lagu "Obat hati" yang didendangkan oleh Opick, ada menyatakan salah satu cara mengubat hati ialah berkumpul dengan orang-orang soleh. Aktiviti seperti ini yang dijalankan di Masjid Tg. Kling, membuatkan saya rasa seperti berkumpul dengan orang-orang soleh. Saya berasa susah hati, gundah gulana, namun, saya berdoa Allah membantu saya menghadapi cabaran mendatang dengan sabar. Ameen.

Amirul Faiz Abd. Razak
75450 Melaka.

2 comments: