Saturday, January 1, 2011

Kenapa saya berblog?

Kenangan di Perbadanan Bioteknologi Melaka 2009

Sesungghuhnya amal itu dikira atas niatnya. Sebermulanya hari-hari pertama di tahun 2011 ini, saya fikir, elok saya semak semula tujuan saya berblog. Supaya apa yang saya tulis dan terbitkan di blog, adalah atas landasan yang tepat menuju ke destinasi tujuan saya berblog.

Blog sebagai jurnal hidup online
Saya melihat blog ini sebagai jurnal untuk saya merakamkan pengalaman hidup saya, buat tatapan generasi anak-anak saya pada masa hadapan. Saya jelas, bahawa blog ini boleh dilawati oleh sesiapa sahaja, maka saya berhati-hati memilih peristiwa-peristiwa yang saya rasa elok untuk diterbitkan di blog ini. Pertama, untuk melindungi lingkungan peribadi yang saya kira, kita semua perlukan. Kedua, saya takut pembaca akan merasa meluat, membaca kisah-kisah pengalaman saya yang taklah sehebat mana. :)

Blog sebagai tempat berkongsi perkara-perkara bermanfaat
Ada beberapa ketika, saya merasakan perlu untuk saya memberitahu sesuatu perkara, supaya pembaca yang akan melakukan perkara yang sama, boleh bersedia menghadapi segala kemungkinan. Contohnya, dalam urusan munakahat, di Malaysia, ada peraturan yang berbeza-beza antara Jabatan Agama negeri-negeri. Saya berkongsi pengalaman saya mengikuti prosedur-prosedur untuk berkahwin yang ditetapkan Jabatan Agama Negeri Melaka dan juga Kelantan. Moga pembaca yang akan berkahwin, boleh bersedia sedikit sebanyak. Mudah-mudahan mendapat manfaat.

Blog sebagai tempat mencari pendapatan sampingan
Pada masa pertama kali saya berblog, dorongan yang saya dapat adalah daripada seorang pensyarah di UTeM, Dr. Burairah. Beliau yang telah memberi semangat, tunjuk ajar dan panduan bagaimana penulis blog boleh mendapat pendapatan sampingan melalui syarikat pengiklanan Nuffnang. Harapan akhir beliau ialah supaya pelajar-pelajar beliau dapat menggunakan kelebihan internet untuk menjalankan perniagaan secara atas talian. Terima kasih Dr. Burairah.
"Banyak ke yang ko da dapat dari nuffnang tu?" Mungkin ada yang bertanya. "Hehe, adela RM100 sepanjang setahun aku berblog." Jawab saya dengan segan sekali. :)

Blog sebagai medan pengajian tanpa henti
Melalui berblog ini, banyak yang telah dapat saya pelajari. Saya dapat belajar sedikit tentang HTML, sedikit tentang bagaimana membina blog yang menarik perhatian, sedikit tentang pengiklanan, belajar juga bersosial secara alam maya, belajar tentang agama, dan banyak lagi. Bila mula menulis dalam blog, baru saya perasan, susah rupanya menterjemahkan idea dalam minda kita kedalam bentuk tulisan. Cakap senang, nak tulis payah.

Saya rasa, cukup itu sahaja tujuan saya berblog. Tujuan anda berblog? Mari kongsi bersama. :)

What we do in life, echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

No comments:

Post a Comment