Friday, December 31, 2010

2011, Toleh Belakang, Pandang Depan


Selamat menyambut tahun baru buat semua pelawat menderas.blogspot.com. Terima kasih kepada anda semua kerana sudi bersama mengikuti blog sederhana saya ini selama lebih kurang setahun, sejak saya mula berblog pada Disember 2009. Di minit-minit terakhir Disember 2010 ini, ingin saya menyoroti beberapa pengalaman suka duka yang saya ada rakamkan di blog ini.

Toleh belakang.
Sewaktu saya mula berblog, saya masih lagi berkhidmat di Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) sebagai seorang Pegawai Sains. Tugas yang mencabar, lebih-lebih lagi dengan adanya Penasihat Melayu yang tidak mahu solat. Akhirnya, dapat juga saya tawaran dari UKM, berkhidmat sebagai Pegawai Sains juga, cuma di tempat yang baru, dengan cabaran yang baru.

Bermulalah cabaran hidup saya mengimbangi kerja dan pengajian MBA di UTeM secara menghadiri kelas petang. Kehidupan ulang-alik Bangi ke Melaka setiap minggu, sungguh meletihkan dan mengeringkan poket. Di kala saya mahu memulakan hidup berumahtangga. Alhamdulillah, mujur isteri setia menemani liku-liku cabaran itu dengan penuh sabar.

Pandang depan.
Gementar, bila saya akan bergelar abah suatu hari nanti. Jangkanya, bulan April, anak sulung saya bakal dilahirkan. Saya mesti bersedia untuk itu. Di dalam tahun baru 2011 ini juga, saya mesti menamatkan pengajian MBA, hanya tinggal mini projek sahaja.

Kerjaya di UKM, sememangnya memerlukan saya sentiasa belajar, sentiasa mengasah kemahiran diri. Moga Allah membantu saya melakukan yang terbaik, untuk diri ini menyumbang kepada mak abah, isteri, keluarga, anak-anak dan masyarakat sekeliling, termasuk anda, rakan tamu di menderas.blogspot.com.

Selamat Maju Jaya di tahun 2011.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

No comments:

Post a Comment