Thursday, January 20, 2011

Ulasan Buku : Indahnya Hidup Tanpa Derita

Indahnya hidup tanpa derita.

Buku kategori tarbiah rohani ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan ditulis oleh Noor Laila Aniza Zakaria. Beliau merupakan seorang Perunding Profesional di Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. sebuah syarikat motivasi yang terkenal. Buku setebal 242 halaman ini menghimpukan cerita pendek kisah-kisah benar pergolakan alam rumah tangga. Kisah masalah suami, masalah isteri, masalah mentua, masalah menantu dan masalah anak-anak.

Golongan sasar yang paling sesuai membaca buku ini pastinya mereka yang telah berumahtangga. Juga sesuai bagi mereka yang baru bertunang dan golongan ibu bapa dan mertua. Saya juga sangat-sangat mencadangkan buku ini kepada anak muda remaja seawal usia mereka belasan tahun, sedari mereka mula-mula mahu bercinta, tak kiralah cinta monyet atau cinta orang. Moga mereka terbuka minda untuk membayangkan betapa berlikunya perjalanan dan penghujung kisah cinta mereka sebelum dan selepas berkahwin.

Supaya tidak timbul penyesalan selepas berkahwin, "waktu bercinta dulu dia baik sangat, tak tinggal sembahyang. Tak sangke pulak perangai dia macam ni, ada kekasih lain kat tempat kerja, panas baran, suka berfoya-foya kat kelab malam. Pantang ditegur, ringan jer tangan kaki hinggap kat muka.."

Kisah-kisah benar yang dipaparkan adalah koleksi masalah yang telah diluahkan pengadu kepada penulis. Penulis dengan penuh rasa tanggungjawab dan berhemah telah mengubah sedikit nama dan cerita asal untuk melindungi aib pengadu. Walaupun begitu, kisah-kisah yang dipaparkan sungguh ekstrim tahap masalahnya, hingga tak terfikir dek akal akan adanya orang di luar sana yang menghadapai masalah seperti itu. Syukur Alhamdulillah jika kita tidak diuji seberat itu.

Menyusul dari kisah benar itu, penulis memberi panduan dan nasihat bagi pengadu menyelesaikan masalah atau sekurang-kurangnya menghadapi masalah tersebut, bukan lari dari masalah. Panduan dan nasihat tersebut juga sangat berguna bagi kita yang mungkin akan menghadapi masalah seperti itu. Dan juga, cara penulis menyampaikan nasihat dan panduan itu, boleh kita pelajari dan amalkan apabila kita menjadi tempat luahan masalah oleh rakan-rakan kita.

Hidup dan mati ini diciptakan Allah untuk melihat siapa di antara kita yang paling baik amalannya, sungguh, Allah itu Maha Agung dan Maha Pengampun.

Semoga anda teruja untuk mendapatkan buku ini seterusnya mengamalkan panduan yang dimuatkan dalam buku ini.

What we do in life echoes in eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

No comments:

Post a Comment