Monday, January 31, 2011

Konsert Diraja UKM 2011

Kad jemputan ke Konsert Diraja UKM 2011.

Bersempena dengan hari keputeraan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM, Konsert Diraja UKM 2011 telah diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Menggantikan orang.
Saya pada mulanya tidak merancang untuk hadir ke konsert ini. Tapi setelah diminta oleh En. Saidi, untuk menggantikan dia yang dijemput ke konsert tersebut, saya terima saja. Risau rasanya kerana tema pakaian yang diminta ialah 'Black Tie' untuk lelaki, dan kebaya / kurung untuk perempuan. Namun lega, apabila melihatkan, hanya dif-dif kehormat sahaja yang perlu betul-betul mengikut tema. Bagi saya orang biasa, pakaian formal sudah memadai.

Beza penyanyi amatur dan profesional.
Seperti sudah boleh diduga, penganjur sengaja menjadualkan acara supaya nyanyian artis jemputan di penghujung. Bagi mengekalkan penonton berada dalam dewan hingga akhir konsert. Dua persembahan dari pelajar UKM, saya dapati, sebutan mereka kurang jelas. Saya sukar menangkap, apa yang mereka dendangkan. Ditambah pula dengan musik orkestra yang mengiringi nyanyian mereka. Bunyi musik orkestra lebih kuat dari suara mereka.

Tiba masa untuk acara nyanyian artis jemputan. Saya dan isteri teruja apabila Francisca Peter muncul dengan membawakan empat buah lagu. Saya benar-benar dapat merasakan, betapa jauh bezanya persembahan penyanyi amatur dan profesional. Suara Francisca Peter benar-benar lantang dan jelas, seiring dengan musik orkestra yang kuat. Mengkagumkan!

Francisca Peter menyampaikan lagu Sekadar Di Pinggiran.

"Wah! tak payah nak pergi IB, dah dapat tengok Francisca Peter live. Aritu dengar kat Sinar FM jer." Kata isteri saya yang minat dengan lagu 'Sekadar Di Pinggiran'.

Begitu juga dengan artis jemputan yang berikutnya, Roy, suaranya jelas, tidak tenggelam dengan musik orkestra yang kuat.

Yang paling bagus tentang konsert ini ialah, masuk percuma! Hehehe..

Menanti pula konsert nasyid di DECTAR.

What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Sunday, January 30, 2011

Majlis Kahwin Di Dewan Bahasa & Pustaka

Kami sekeluarga, abah, mak, Najwa, Zul, saya dan isteri telah memenuhi jemputan majlis resepsi perkahwinan saudara sebelah abah. Resepsi, kata orang sekarang. Saya lebih suka istilah kenduri, ataupun kenduri kesyukuran, lebih rasa Melayu dan ada rasa hubungkait sedikit sebanyak dengan Tuhan. Bahkan rukun Negara yang pertama juga menyebut ; Kepercayaan Kepada Tuhan.

Menyimpang sedikit tentang istilah resepsi dan kenduri. Majlis perkahwinan tersebut telah diadakan di Dewan Bankuet, Tingkat 1, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Dek kerana peta ke lokasi majlis tidak tepat, ditambah pula dengan alat GPS yang kurang canggih, alhasil, perjalanan yang sepatutnya hanya 30minit dari Bangi, menjadi hampir sejam.

Mana jatidiri Melayu?
Suasana majlis begitu meriah. Sedikit yang mencacatkan majlis, pakaian pengantin perempuannya.

Pandangan dari jauh sahaja.

"Pengantin moden!" Kata Pak Tam, anak saudara kepada abah. Pak Tam merupakan bapa saudara kepada pengantin lelaki. Melihat kepada pasangan pengantin, fahamlah saya kenapa Pak Tam berkata begitu. Pengantin lelaki lengkap berbaju Melayu sepasang, lengkap bersongkok. Pengantin perempuan pula, pakaiannya kebaya ketat, rambut dilepaskan, aurat tidak dijaga. Aduhai. "Tengok tu, berapa ribu pasang mata yang memandang tu? Tu semua kena jawab nanti kat akhirat." Tambah Pak Tam lagi.

Rata-rata tetamu wanita yang hadir, berpakaian seperti 'meminta lelaki menenung susuk tubuh mereka'. Hilai ketawa mereka, amboi, tak ada segan silu! Ke mana menghilang, gadis Melayu yang pemalu, yang segan membuka mulut luas-luas pabila tertawa.

Mungkin kerana dunia tanpa sempadan, jatidiri Melayu yang kaya dengan adab sopan, layu melayu kepada kuasa pengaruh asing.

Cukuplah sekadar renungan buat rakan-rakan saya yang percaya bahawa setiap perbuatan mereka akan disoal kelak dihadapan Allah. Bagi yang tak percaya dan tiada segan silu, buatlah apa yang anda suka. Saya sekadar mengingatkan diri sendiri.

Kedai buku Dewan Bahasa & Pustaka
Alang-alang sudah berada di Menara DBP, kami pun melawat kedai buku DBP sebelum bertolak pulang.


Hehe, posing jer nih. :D

Abah belek buku dwibahasa Melayu Arab.

Isteri saya, Nurul Asyikin Mustafa.


Zul berposing dengan buku.

 Mak dan Najwa.

Ironinya, saya terjumpa buku ini.

Adat dan Pantun Perkahwinan Melayu; Penyeri Impian Teruna dan Dara.

Mari fikir sejenak. "Takkan Melayu hilang didunia!" Kata Hang Tuah. Tapi jika diamati, jatidiri Melayu (adab sopan, segan silu, berhemah dalam berkata) semakin pudar ditelan gelombang hedonisme yang nampaknya begitu menyeronokkan.

Apa pun, saya mendoakan, moga kita semua senantiasa dalam Rahmat Hidayah Allah. Moga kita semua yang mengaku mengucap dua kalimah syahadah (termasuk mereka yang tidak menjaga aurat) dapat mengucap dua kalimah syahadah tersebut disaat hembusan nafas terakhir. Ameen.

Sungguhpun begitu, keseronokan menghadiri majlis kahwin saudara mara ialah apabila dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim, kenal mengenal sesama saudara.

Gambar kenang-kenangan di sekitar majlis tersebut.




Hukum alam, Sunnatullah, hidup ini tidak boleh bersendirian, kita saling memerlukan.

Selamat pengantin baru.


What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Thursday, January 20, 2011

Ulasan Buku : Indahnya Hidup Tanpa Derita

Indahnya hidup tanpa derita.

Buku kategori tarbiah rohani ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan ditulis oleh Noor Laila Aniza Zakaria. Beliau merupakan seorang Perunding Profesional di Excel Training & Consultancy Sdn. Bhd. sebuah syarikat motivasi yang terkenal. Buku setebal 242 halaman ini menghimpukan cerita pendek kisah-kisah benar pergolakan alam rumah tangga. Kisah masalah suami, masalah isteri, masalah mentua, masalah menantu dan masalah anak-anak.

Golongan sasar yang paling sesuai membaca buku ini pastinya mereka yang telah berumahtangga. Juga sesuai bagi mereka yang baru bertunang dan golongan ibu bapa dan mertua. Saya juga sangat-sangat mencadangkan buku ini kepada anak muda remaja seawal usia mereka belasan tahun, sedari mereka mula-mula mahu bercinta, tak kiralah cinta monyet atau cinta orang. Moga mereka terbuka minda untuk membayangkan betapa berlikunya perjalanan dan penghujung kisah cinta mereka sebelum dan selepas berkahwin.

Supaya tidak timbul penyesalan selepas berkahwin, "waktu bercinta dulu dia baik sangat, tak tinggal sembahyang. Tak sangke pulak perangai dia macam ni, ada kekasih lain kat tempat kerja, panas baran, suka berfoya-foya kat kelab malam. Pantang ditegur, ringan jer tangan kaki hinggap kat muka.."

Kisah-kisah benar yang dipaparkan adalah koleksi masalah yang telah diluahkan pengadu kepada penulis. Penulis dengan penuh rasa tanggungjawab dan berhemah telah mengubah sedikit nama dan cerita asal untuk melindungi aib pengadu. Walaupun begitu, kisah-kisah yang dipaparkan sungguh ekstrim tahap masalahnya, hingga tak terfikir dek akal akan adanya orang di luar sana yang menghadapai masalah seperti itu. Syukur Alhamdulillah jika kita tidak diuji seberat itu.

Menyusul dari kisah benar itu, penulis memberi panduan dan nasihat bagi pengadu menyelesaikan masalah atau sekurang-kurangnya menghadapi masalah tersebut, bukan lari dari masalah. Panduan dan nasihat tersebut juga sangat berguna bagi kita yang mungkin akan menghadapi masalah seperti itu. Dan juga, cara penulis menyampaikan nasihat dan panduan itu, boleh kita pelajari dan amalkan apabila kita menjadi tempat luahan masalah oleh rakan-rakan kita.

Hidup dan mati ini diciptakan Allah untuk melihat siapa di antara kita yang paling baik amalannya, sungguh, Allah itu Maha Agung dan Maha Pengampun.

Semoga anda teruja untuk mendapatkan buku ini seterusnya mengamalkan panduan yang dimuatkan dalam buku ini.

What we do in life echoes in eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Tuesday, January 18, 2011

Green Lung (Peparu Hijau) di Kem Sungai Congkak

Majlis perasmian Green Lung.

Persatuan Green Lung (dalam bahasa maksudnya Peparu Hijau) adalah persatuan pelajar universiti yang bermatlamat mengajak orang ramai berhenti merokok. Terjemahan secara langsung istilah Green Lung, memanglah PeparuHijau / Peparu Sihat, istilah green / hijau merujuk kepada sihat / dekat dengan alam sekitar, tapi saya rasa, memang pengaruh Bahasa Inggeris ini begitu kuat, hingga kalau guna istilah Peparu Sihat, kita akan rasa semacam ada yang tidak kena.

Sedikit menyentuh tentang bahasa. Yang ingin saya ceritakan sebenarnya ialah tentang aktiviti mahasiswa/i (siswi yang lebih ramai) yang menggerakkan persatuan GreenLung ini. Mereka telah mengadakan kem peralihan kuasa untuk melatih tenaga pelapis muda yang akan mengambil alih pengurusan persatuan GreenLung pada sesi akademik yang akan datang.



Alhamdulillah, semua yang ada dalam persatuan GreenLung ini tidak merokok. Sekarang, usaha mereka adalah untuk mengajak belia untuk tidak merokok. Saya doakan, kita semua jauh dari mudarat rokok.

Menariknya Kem Herba Sungai Congkak ini ialah, pengusahanya merupakan seorang bekas pensyarah UPM yang mahir dalam bidang botani. Pelbagai pokok-pokok yang ajaib yang terdapat di Kem Herba ini diceritakan dan ditunjukkan ciri-ciri unik pokok-pokok tersebut.




Makan buah limau tak rasa masam, lepas makan buah ini.

 Buah Mahkota Dewa yang sudah masak.


Tahniah kepada persatuan Green Lung UKM yang berjaya mengadakan aktiviti yang bermanfaat untuk belia. Terima kasih banyak, kerana menjemput kakitangan Fakulti Farmasi, untuk turut serta seketika diwaktu majlis perasmian.

Saya menyokong penuh matlamat persatuan Green Lung. Belia benci rokok.

What we do in life echoes in eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi
_____________________________________________________
Entri ini sepatutnya tahun lepas saya masukkan, tapi dek kerana sikap saya yang suka bertangguh (astaghfirullah), baru kini saya uploadkan. Buat anda yang membaca, marilah kita berhenti merokok.

Sunday, January 16, 2011

Hujung Minggu Lebih Bermakna Bersama Tercinta

Menghabiskan masa dengan keluarga tercinta, sungguh bermakna. Lebih-lebih lagi, masa diluangkan dengan melakukan aktiviti yang seronok, seperti mandi air terjun. Dah lama tak mandi air terjun, lebih 2 tahunlah rasanya.

Sampai sahaja di air terjun Kota Tinggi, sifat kebudak-budakan saya terserlah sedikit demi sedikit. Yeah! Seronoknya, syoknya mandi air terjun. Sejuk..

Gambar kenang-kenangan di air terjun Kota Tinggi.








Katak besar yang menarik perhatian.




Untuk masuk ke air terjun Kota Tinggi, bayaran seorang dewasa RM7.50 dan bayaran masuk untuk sebuah kereta RM3.00. Hmm, bolehlah dikatakan berpatutan memandang kepada kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Oleh kerana pada waktu ini, bukan musim cuti sekolah yang panjang, maka tidak berapa ramai orang yang mandi-manda, takdelah sempit kawasan untuk kita berendam.

Alhamdulillah, puji-puji bagi Allah, yang menciptakan air terjun yang sungguh mengkagumkan ini.

What we do in life echoes in eternity.


Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Thursday, January 13, 2011

Jasa guru, dikenang sampai bila-bila.

Bersama Tok Guru, Prof. Madya Dr. Zamri Zainal.

Kerja saya yang ada kena mengena dengan bioteknologi, memberi saya peluang untuk bertemu kembali dengan pensyarah saya waktu di Pusat Pengajian Biosains Bioteknologi, FST, UKM. Antara yang sempat saya bertemu Prof. Dr. Normah, Prof. Madya Dr. Roohaida Othman, Dr. Nazlina Ibrahim, Dr. Zamri Zainal.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Biokeselamatan
Rabu, 12 Jan 2011, saya telah diminta untuk mewakilkan Timbalan Dekan dalam mesyuarat tersebut. Mesyuarat ini yang memberi saya peluang untuk bertemu kembali dengan pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar saya dahulu.

Gembira dan takut
Pada satu masa, perasaan gembira dapat bertemu kembali dengan pensyarah-pensyarah / guru-guru saya ini. Pada masa yang sama, perasaan takut / cuak itu masih ada. Mungkin sebab rasa hormat yang tinggi pada pensyarah-pensyarah, membuatkan saya berasa seperti masih lagi seorang pelajar.

Terima kasih Allah, kerana memberikan peluang ini, duduk semeja dalam mesyuarat, bersama-sama dengan guru-guru yang banyak memberi inspirasi kepada saya.

What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi
____________________________________________
*Jarang pensyarah-pensyarah diraikan pada Hari Guru kan? Pensyarah itu bukan guru ke?

Tuesday, January 11, 2011

Sebagaimana mereka mengasihaniku di waktu kecil

Kenangan bersama abah semasa Aidilfitri 2007

Hujung minggu yang lalu, emak menelefon waktu saya di pejabat. Kata hati saya sudah terdetik seperti ada yang hendak emak sampaikan, tapi tak pasti, apa beritanya. Moga-moga berita yang baik. Tapi dari nada suara emak yang mendatar, saya kesan, tiada berita yang gembira, mahupun berita yang tidak baik.

"Ade pape ke mak?"
"Takde ape, saje je mak telefon, kau dah lame tak telefon." Rasanya, baru beberapa hari yang lalu saya ada menelefon ke rumah, bertanya khabar. Saya iyakan saja.
"Orang sibuk sikit la mak, tension sikit ngan kerja." Jawab saya sekadar memberi alasan.
"Eh, ko ni, dah dapat kerja elok, tension pulak."
"Hehe, tension keje gitu-gitu jer mak."

"Mak bukan ape, abah kau, dia kate dia rasa macam penat jer. Malam tadi, nak habiskan solat Maghrib pun abah kata dia macam tak larat jer." Kata mak dalam nada yang hampir sebak. Saya hanya mendiamkan diri, berasa sebak juga dalam diri. Risaukan kesihatan abah.
"Dahlah aritu abah kate, anak-anak dah kahwin, pergi haji sudah, tinggal nak mati jer." Sambung emak, lantas terdengar suara emak teresak-esak.

Mata saya berair, bayangan peristiwa-peristiwa yang menyedihkan itu berpusu-pusu masuk di fikiran. Pergi yang tak kembali. Transisi ke alam yang satu lagi, menuju alam yang tiada mati lagi.

Ya Allah, ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibubapaku, dan kasihanilah mereka, sebagaimana mereka mengasihaniku diwaktu kecil.

Ya Allah, panjangkanlah umur emak dan abah, dengan RahmatMu. Ameen..

Saya sayang ayahanda bonda.

What we do in life echoes in eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
43650, Bandar Baru Bangi

Friday, January 7, 2011

Cuaca hujan lebat


Sejak satu dua hari kebelakangan ini, cuaca di sekitar Kuala Lumpur dan Bangi asyik mendung dan hujan lebat berpanjangan. Petang Selasa yang lalu, hujan yang sungguh lebat turun menyeliputi kawasan Bandar Baru Bangi. Hujan lebat yang menyebabkan paras air di parit naik, hingga hampir melimpah.

Saya sempat rakam gambar paras parit dari tingkap dapur rumah. Pemandangan dari tingkat 5.


Paras air sungai sewaktu hujan lebat petang Selasa lalu.

Paras air parit pada hari-hari biasa.

Mari melihat keajaiban alam ini dan mencari tanda-tanda kekuasaanNYA. Dengan air hujan, Allah berkuasa memberi manfaat kepada manusia (menyuburkan tanah), juga Allah berkuasa memberi mudarat melalui air hujan (banjir).

Dengar dari berita, ada beberapa tempat di Pantai Timur ditenggelami air, hingga sekolah terpaksa ditutup, walaupun sesi persekolahan seluruh Malaysia telah mula.

Alhamdulillah, kawasan Bandar Baru Bangi tidak banjir. Cuma hujan lebat serta angin kencang menyebabkan air hujan tempias, membasahkan sedikit kusyen di ruang tamu.

Penunggang motor seperti saya pula, basah lenjun, walaupun sudah memakai baju hujan.

Jangan pantas berkata "eh, asyik hujan jer, susahla camni." Setiap perkara yang Allah izinkan berlaku itu baik (Allah Maha Mengetahui). Hanya pada pandangan manusia yang lemah ini, yang mengkelaskan, sesuatu perkara itu baik atau buruk.

Setuju tak? :)

What we do in life echoes in eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka

Monday, January 3, 2011

Bila TV Rosak

TV hitam putih, suara ada, gambar tiada.

Pada suatu pagi yang nyaman, ketika isteri menekan suis TV, tiba-tiba bunyi 'TAAPP.. TAAPP' yang begitu kuat memeranjatkan kami. Maka dengan itu, TV di ruang tamu disahkan rosak.

Bila TV rosak..
Waktu santai / rehat di ruang tamu rasa berlalu terlalu perlahan, rasa seperti sudah tidak tahu berbuat apa-apa di waktu lengang.

Bila TV rosak..
Rasa macam agak ketinggalan, kerana tak dapat ikuti berita. Rumah rasa sunyi, selalunya waktu makan malam akan ditemani dengan siaran berita, kini senyap saja.

Bila TV rosak..
Sedang saya rileks-rileks di ruang tamu, main game di komputer, tiba-tiba 'GOOOOLLLL' jerit jiran-jiran sebelah rumah apabila Harimau Malaya menyumbat gol di Gawang Garuda.

Pun begitu..
Bila TV rosak, lebih banyak perkara yang dapat saya sembang dengan isteri. Lebih banyak masa boleh tatap wajah isteri. :)

Bila TV rosak, siaran radiolah yang jadi teman kami. Saya dan isteri rasa terpikat dengan stesen SinarFM. Lagu-lagu yang diputarkan, mengimbau nostalgia zaman dulu-dulu waktu kami bergelar murid-murid darjah 1 hingga ke tingkatan.

Ada hikmah rupanya bila TV rosak ni. Cuma kita perlu pandang perkara ini dari sudut yang positif. Hikmah paling besar bila TV rosak, bil elektrik jimat! :)

What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi
___________________________
Bila TV rosak, hati tak sakit, tak perlu tengok Melodi mempersoalkan Maher Zain bangun lambat. Haish...

Sunday, January 2, 2011

Tahniah! Pengantin Hafiz & Azrin

Lelaki senyum serius, perempuan senyum ceria. :)

Tahniah buat rakan sekerja saya, Hafiz & Azrin yang telah selamat diijab kabul pada Sabtu 1.1.11. Wah! Senangnya nak ingat tarikh ulangtahun. Semoga bahagia berkekalan hingga akhir hayat, biar sampai syurga. Ameen. Majlis kenduri telah diadakan di Galeri Kuliyyah of Architecture & Environmental Design (KAED), UIA, Gombak.

Saya dan isteri tiba sekitar 12.00 tengahari. Saya mencari-cari rakan sekerja yang lain, tak seorang yang kelihatan. Hanya pelajar-pelajar Fakulti Farmasi, UKM yang kelihatan. Mereka mahu menyaksikan kedua-dua pensyarah mereka (Hafiz & Azrin) dalam pakaian pengantin yang cantik lagi istimewa itu.

Hj. Baharom dan isteri sampai sekitar 12.30 tengahari. Kak Fataheyah dan abang Adli pula tiba sekitar 1.00 tengahari.

Makanan yang dihidangkan memang sedap dan banyak pilihan. Lauk ayam goreng, daging masak rendang, udang masak sambal, kuah dalca dan untuk pencuci mulut pula, karamel gula hangus. Alhamdulillah, dapat makan sedap-sedap.

Oleh kerana waktu kami sampai, pengantin ada hal di luar (salin pakaian dan sesi fotografi di luar agaknya), jadi gambar-gambar sekitar dewan jamuan saja yang ada untuk saya kongsikan.

Pelamin pengantin di Galeri KAED, UIA.

Hiasan kreatif bunga-bunga sebagai langit pelamin.

Kagum dengan senibina dalaman Galeri KAED ini.

Pengantin, Hafiz dan pasangannya Azrin kedua-duanya adalah rakan sekerja saya di Fakulti Farmasi, UKM. Namun, mereka memilih untuk bertukar tempat kerja ke UIA. Kami mendoakan kedua-duanya akan bahagia dan tabah mengharungi suka duka kehidupan rumahtangga.

Jika waktu bercinta, matlamat akhirnya mahu berkahwin.
Bila sudah berkahwin, matlamat akhirnya?
Apa kata anda? Kongsikan pendapat anda bersama kita semua.


What we do in life, echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Saturday, January 1, 2011

Kenapa saya berblog?

Kenangan di Perbadanan Bioteknologi Melaka 2009

Sesungghuhnya amal itu dikira atas niatnya. Sebermulanya hari-hari pertama di tahun 2011 ini, saya fikir, elok saya semak semula tujuan saya berblog. Supaya apa yang saya tulis dan terbitkan di blog, adalah atas landasan yang tepat menuju ke destinasi tujuan saya berblog.

Blog sebagai jurnal hidup online
Saya melihat blog ini sebagai jurnal untuk saya merakamkan pengalaman hidup saya, buat tatapan generasi anak-anak saya pada masa hadapan. Saya jelas, bahawa blog ini boleh dilawati oleh sesiapa sahaja, maka saya berhati-hati memilih peristiwa-peristiwa yang saya rasa elok untuk diterbitkan di blog ini. Pertama, untuk melindungi lingkungan peribadi yang saya kira, kita semua perlukan. Kedua, saya takut pembaca akan merasa meluat, membaca kisah-kisah pengalaman saya yang taklah sehebat mana. :)

Blog sebagai tempat berkongsi perkara-perkara bermanfaat
Ada beberapa ketika, saya merasakan perlu untuk saya memberitahu sesuatu perkara, supaya pembaca yang akan melakukan perkara yang sama, boleh bersedia menghadapi segala kemungkinan. Contohnya, dalam urusan munakahat, di Malaysia, ada peraturan yang berbeza-beza antara Jabatan Agama negeri-negeri. Saya berkongsi pengalaman saya mengikuti prosedur-prosedur untuk berkahwin yang ditetapkan Jabatan Agama Negeri Melaka dan juga Kelantan. Moga pembaca yang akan berkahwin, boleh bersedia sedikit sebanyak. Mudah-mudahan mendapat manfaat.

Blog sebagai tempat mencari pendapatan sampingan
Pada masa pertama kali saya berblog, dorongan yang saya dapat adalah daripada seorang pensyarah di UTeM, Dr. Burairah. Beliau yang telah memberi semangat, tunjuk ajar dan panduan bagaimana penulis blog boleh mendapat pendapatan sampingan melalui syarikat pengiklanan Nuffnang. Harapan akhir beliau ialah supaya pelajar-pelajar beliau dapat menggunakan kelebihan internet untuk menjalankan perniagaan secara atas talian. Terima kasih Dr. Burairah.
"Banyak ke yang ko da dapat dari nuffnang tu?" Mungkin ada yang bertanya. "Hehe, adela RM100 sepanjang setahun aku berblog." Jawab saya dengan segan sekali. :)

Blog sebagai medan pengajian tanpa henti
Melalui berblog ini, banyak yang telah dapat saya pelajari. Saya dapat belajar sedikit tentang HTML, sedikit tentang bagaimana membina blog yang menarik perhatian, sedikit tentang pengiklanan, belajar juga bersosial secara alam maya, belajar tentang agama, dan banyak lagi. Bila mula menulis dalam blog, baru saya perasan, susah rupanya menterjemahkan idea dalam minda kita kedalam bentuk tulisan. Cakap senang, nak tulis payah.

Saya rasa, cukup itu sahaja tujuan saya berblog. Tujuan anda berblog? Mari kongsi bersama. :)

What we do in life, echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi