Saturday, August 13, 2011

Belajar buat web dengan Joomla 1.7

Web ringantangan yang baru.
Sekadar nak bercerita, sebelum ni, saya gunakan Joomla 1.6 untuk website www.ringantangan.com saya. Kemudian, saya mula sedar pentingnya untuk update kepada Joomla 1.7, kerana isu-isu keselamatan (spam, hack dan sebagainya). Jadi saya pun terus update. Sudah diberi peringatan supaya backup data. Tapi saya kurang faham. Saya ada ikut arahan (step by step instruction) untuk backup, tapi saya tak faham lagi bagaimana nak pasang semula (restore) backup yang saya dah buat itu. Akhirnya, saya pasang Joomla 1.7 yang baru sahaja. Hilanglah artikel-artikel yang saya dah tulih sebelum-sebelum ni. Begitu juga dengan komen dari rakan-rakan.

Pengajaran yang paling berharga adalah melalui pengalaman. Pengalaman adalah institut pengajian yang paling tinggi. :)

Sunday, July 31, 2011

www.ringantangan.com


Apa khabar semua? Harap sihat-sihat belaka. Kepada Muslimin, selamat menjalani ibadah puasa. Kukuhkan iman, cantikkan puasa. Moga kita beroleh taqwa. Saya ingin menjemput anda semua ke laman web baru saya ringantangan.com. Sudi-sudikanlah ye. :)

Wednesday, July 27, 2011

Selepas 5 kali mencuba, Naufal meniarap


Semalam, tatkala mahu pergi ke tempat kerja, Naufal dah mula tidur mengiring. Seronok tengok dia dah mula mahu meniarap. Semakin besar, semakin sihat anakku Naufal. Usianya kini dah 3 bulan.

Suatu nikmat yang sukar diungkap, betapa indah melihat si manja membesar, dari hari ke hari, kasih sayang terhadap keluarga ini makin mekar dalam hati abah dan umi. :)


Abah dan umi banyak belajar dari pengalaman berharga ini. Allah hadirkan Naufal, supaya abah dan umi belajar dengan sebenar-benarnya, apa itu sabar.
Ok Naufal, lepas ni mengorak setapak lagi, merangkak pula ye.

Friday, July 22, 2011

Pegawai Insiden / Floor Marshall


Bagi setiap tingkat / aras dalam sesuatu bangunan, perlu ada seorang yang bertanggungjawab terhadap keselamatan orang ramai yang berada di dalam bangunan itu. Orang ramai yang dimaksudkan termasuklah penghuni, pekerja, pelanggan, pelawat bahkan sesiapa sahaja yang lalu lalang atau sekadar jalan-jalan di dalam bangunan / kawasan tersebut. Orang yang ditanggungjawabkan tentang hal-hal keselamatan begini dilantik sebagai Pegawai Insiden, dalam Bahasa Inggerisnya "Floor Marshall".

"Mulanya kami nak panggil 'Pegawai Tingkat', tapi macam tak kena pula istilah tu. Jadi, istilah yang lebih sesuai, rasanya ialah Pegawai Insiden.

Selaku Pegawai Insiden bagi sesuatu paras / tingkat, kami dipertanggungjawabkan untuk mengetahui, jumlah pemastautin / penghuni yang berada di paras / tingkat itu. Pegawai Insiden juga mestilah tangkas dan pantas dalam hal-hal kecemasan, seperti memadamkan kebakaran kecil.


Bertempat di Marina Cove, Lumut, Perak, Pegawai Insiden dari UKM Kampus KL telah diberi taklimat dan juga latihan apabila berada dalam kecemasan disebabkan kebakaran.

Nampak mudah, apabila dalam situasi kecemasan yang sebenar, pasti kita akan panik. Latihan seperti ini, sebagai suatu persediaan kepada Pegawai Insiden. Sekurang-kurangnya, ada orang yang tahu, apa yang perlu dilakukan, ketika panik.


Ke arah tempat kerja yang selamat.

Wednesday, July 13, 2011

Berpindah ke rumah baru

Saya membasuh rumah sewa baru.

Pertamanya saya mohon maaf, kepada pelawat-pelawat yang hadir ke blog ini, lalu mendapati, tiada sebarang kemaskini yang terbaru dilakukan. Maaf, atas kelemahan diri, ditambah dengan hal berpindah ke kediaman yang baru, terkeluarnya P1 w1max dari kawasan liputan, saya tidak dapat mengemaskini blog. Alhamdulillah, setelah hampir 6 bulan saya memohon untuk menyewa di rumah UKM, akhirnya, permohonan saya diluluskan. Saya dibenarkan menyewa rumah sewa UKM yang terletak di Lorong 6, Seksyen 16.

13 Jun 2011, kami sekeluarga mula menginap di rumah baru ini. Syukur sangat. Setelah setahun lebih, kami turun naik tangga lima tingkat ke rumah sewa, kini kami lega menginap di rumah yang tak perlu panjat tangga tinggi-tinggi. :) Tak lah penat mendukung Naufal bawa masuk rumah.




Mak abah dan Zul dah sampai ke rumah baru ni. Pagi datang, petang balik. Lepas ni mungkin lebih kerap abah datang ziarah banding dengan masa di rumah flat dulu. Abah gayat, tak boleh naik tingkat tinggi-tinggi.

Terima kasih banyak kepada anda yang selalu mendoakan kebaikan kami sekeluarga. Terima kasih juga kepada Kak Hazni, yang memberi nasihat supaya saya memohon untuk menginap di rumah ini.

Anda semua, jemputlah ziarah ke rumah. :)

Tuesday, June 7, 2011

Anak Pengikat Kasih


Alhamdulillah, setelah dua bulan, Naufal anakku sudah semakin berisi, semakin segar, semakin besar, semakin tembam, semakin comel, semakin mengajarku erti pangkat 'ketua keluarga'. Sungguh mengujakan, sungguh menyeronokkan, melihat anak membesar di hadapan mata.

Naufal mewarisi wajah abahnya. Melihatkan Naufal yang berbagai ragam, membuatkan saya terfikir, beginikah saya waktu kecil dahulu? Mugkin lebih menduga kesabaran. Ya Allah, kasihanilah mereka (emak & abah), sebagaimana mereka mengasihaniku di waktu kecil.


Pengikat kasih kami
Telatah Naufal, membuatkan saya dan isteri tersenyum gembira. Terima kasih yang paling istimewa buat isteriku yang begitu banyak berkorban masa, tenaga, bersengkang mata melayan kerenah si manja Naufal. Saya cuma membantu sedaya yang mampu. Misalnya membancuh susu. Hee.

"Naufal minum susu tepung?" "Iya, sebabkan susu badan yang belah kanan ada masalah sikit, jadi Naufal cuma dapat menyusu yang belah kiri jer. Sian, macam tak cukup, jadi tambahkan dengan susu tepung."

Terima kasih
Terima kasih kepada anda semua yang telah membantu memberikan panduan membesarkan si manja Naufal. Terima kasih kepada yang telah memberikan ucapan tahniah, memberikan hadiah, mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga. Anda sungguh baik hati.


Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Thursday, May 19, 2011

Selamat Kembali Ke Rahmatullah, Pak Besar.


Tengahari Rabu, 18 Mei 2011, mak menelefon, menyampaikan berita tergempar. Abah yang berada di Singapura, menghantar SMS "Pak Besar telah meninggal dunia, baru kejap tadi." Innalillahi wa 'inna ilaihi raji'un. Sesungguhnya kita milikNya dan kepadaNya jua kita kembali. Pak Besar menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar pukul 2.00 petang di hospital di Singapura.

Saya, mak, dan adik bongsu Zul, bertolak ke Singapura pukul 9.30 malam dari Melaka. Perjalanan mengambil masa kira-kira 3 jam ke Singapura, kami tiba di rumah arwah pukul 2.00 pagi. Suasana hiba menyelubungi diri. Baru sebulan yang sudah, kami sekeluarga menziarahi Pak Besar yang sakit tenat. Pak Besar kehilangan berat badan yang sangat drastik. Sangat kurus. Makan juga tidak berselera. Teringat kata Pak Besar "Nanti bila Pak Besar dah sihat, Pak Besar nak buat kenduri sikit, pindah rumah baru, dalam bulan lapan nanti."

Ajal itu urusan Allah

Firman Allah dalam surah Al 'Araf, ayat 34 :

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan (lambatkan) walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka dahulukan (percepatkan).

Pak Besar mula sakit tenat hingga dimasukkan ke hospital sejak Isnin yang lalu. Petang Rabu itu, roh Pak Besar dijemput kembali bertemu Allah, Yang Esa. Sungguh ini adalah suatu peringatan bagi kita semua. Masa kita kembali kepada Pencipta kita, pasti akan tiba.

Semoga Allah merahmati roh Pak Besar dan mengampunkan dosa-dosanya serta menempatkan rohnya di kalangan roh-roh orang muslim. Ameen.

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka

Thursday, May 5, 2011

Semakin Besarnya Anakku

Tengok pipi dia tu, dah mula nak tembam. :)

Hampir sebulan sudah masa berlalu. Naufal sudah berisi sedikit. Kata seorang guru saya, "kalau anda nak tengok masa tua anda, lihatlah pada ayah anda. Kalau anda nak tengok masa kecil anda, lihatlah pada anak anda." Kata mak, saya masa kecil dulu kuat menangis, asyik-asyik menangis. Mungkin sifat kuat menangis itu turun kepada anak. Apa-apa pun, syukur kepada Allah, mengurniakan saya dan isteri, anak yang sihat. Alhamdulillah.

Saya nak kongsi dengan anda, gambar-gambar Naufal, yang sempat saya rakam sewaktu saya berada di Paloh 3, Gua Musang, tempoh hari.



Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan anak saya. Ameen atas doa kalian.

Amirul Faiz Abd. Razak

Sunday, April 10, 2011

Naufal Bin Amirul Faiz

Pertama kali Naufal dalam dukungan abahnya.

Nama Naufal pertama kali saya terserempak, ialah dari sebuah novel Salju Sakinah, karangan Zaid Akhtar. Watak Naufal dalam novel tersebut ialah seorang pelajar yang baik di Universiti Yarmouk, Jordan. Watak utama dalam novel tersebut ialah Sumayyah, dan Naufal bolehlah saya katakan watak yang kecil, kerana cerita tentang Naufal tidak banyak, hanya berlegar sekitar kisah Naufal menegur Sumayyah di permulaan novel. Juga sedikit kisah bagaimana Naufal melamar Sumayyah di hujung novel. Novel Salju Sakinah itu saya hadiahkan kepada isteri, sewaktu kami bercinta dahulu (sekarang masih bercinta, bahkan lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata). Sejak dari itu, kami seperti dah ada ilham, kalau anak lelaki, Naufal. Kalau anak perempuan Sumayyah.

Ada kena mengena dengan Nabi Muhammad S.A.W. ke?
Saya mencari di Google, kisah Naufal. Saya bertemu dengan, Waraqah Bin Naufal. "Siapa Waraqah Bin Naufal ni? Macam pernah dengar, tapi tak berapa jelas dalam ingatan."Rupa-rupanya, nama Waraqah Bin Naufal muncul dalam peristiwa Nabi Muhammad S.A.W. mendapat wahyu pertama di Gua Hira'". Nabi menceritakan keresahannya kepada isterinya Khadijah, sekembalinya dari Gua Hira'. Khadijah pula bertanyakan tentang hal tersebut kepada sepupunya, itulah Waraqah Bin Naufal.

Apa makna 'Naufal'?
Dalam buku kecil 'Himpunan nama-nama si comel' karangan Ummu Ainul Muhammad, terbitan Al-Hidayah Publication, nama Naufal membawa maksud dermawan. Moga-moga anak abah ini akan menjadi seorang yang dermawan, bukan terhad kepada wang ringgit, bahkan tenaga, fikiran, idea, masa dan sebagainya diinfakkan kepada kesejahteraan ummah.


Tak nak letak Muhammad / Mohd./ Ahmad ke kat depan?
Pandangan saya, jarang orang akan panggil dengan panggilan penuh Muhammad / Ahmad. Orang akan singkatkan, menjadi 'Mat'. Dan saya fikir, cukuplah dengan nama Naufal. Pada hemat saya juga, besar harapan yang disandarkan, jika membawa nama yang terpuji Muhammad ini. Bayangkan jika seorang yang bernama Muhammad, melakukan sesuatu perbuatan yang buruk. Contohnya, "Siapa yang merempit tengah-tengah malam ni..?" dengus Pak Ali. "Alaaa, si budak Muhammad dan geng Mat Rempit dier ler, sape lagi.." Jawab Pak Abu. Seperti yang pernah ditulis oleh Ustaz Hasrizal, tentang bagaimana orang Turki, begitu prihatin soal nama Muhammad ni, hinggakan, mereka mengubah ejaan Muhammad, kepada Mehmet. Boleh rujuk di sini.

Ada apa pada nama?
Nama yang baik, insyaAllah, akan memberi kesan yang baik kepada seseorang.

"Berilah nama (anak kamu) dengan nama-nama nabi dan nama-nama yang paling (baik) disenangi Allah S.W.T. Iaitu Abdullah dan Abdur Rahman (hamba Allah dan hamba Yang Maha Pengasih, yang paling benar ialah Haris dan Hamman (yang rajin bekerja) dan yang tinggi cita-cita dan yang paling buruk ialah Herb dan Nurrah (perang dan pahit)." Riwayat Abu Daud dan Nasa'i.

Jadi, oleh itu, "Hai anakku, dengan penuh kasih dan sayang, abah dan ummi namakan kamu Naufal (dermawan)". Moga nanti, Naufal akan kenal bahawa, erti hidup adalah pada memberi.

Amirul Faiz Bin Abd. Razak
Hospital Tanah Merah, Kelantan

Friday, April 8, 2011

Selamat Lahir Anakku, Abah Umi Menunggu.


Pagi Rabu 6 April 2011, isteri yang berada di Paloh 3, Gua Musang, Kelantan, memberitahu melalui telefon, sudah ada tanda-tanda hendak bersalin. Saya bersiap-sedia dengan memasukkan beg baju ke dalam kereta. Pagi Rabu ini, ada taklimat dari Naib Canselor UKM, bagi kakitangan yang baru dilantik, majlis berakhir jam 11.30. Pukul 10 pagi, isteri menghantar SMS, Klinik Kesihatan Chiku akan menghantarnya ke Hospital Kuala Krai kerana sudah ada tanda sedikit bayi di dalam kandungan sudah berak. Sekiranya laluan untuk bayi keluar, tak cukup besar, maka pembedahan harus dijalankan, dan Hospital Kuala Krai merupakan hospital yang terdekat dari Paloh, yang berupaya menjalankan pembedahan. Hospital Gua Musang tidak boleh menjalankan pembedahan (mungkin tiada peralatan kot.)

Isteri dikejarkan ke Hospital Kuala Krai, dari Klinik Kesihatan Chiku, dengan ambulans. Isteri tiba di Hospital Kuala Krai sekitar jam 12 tengahari. Saya pula bertolak dari Kuala Lumpur, sekitar jam 2 petang, setelah mendapatkan surat jaminan (guarantee letter) dari Pejabat Fakulti Farmasi. Dah terbayang waktu itu, saya akan tiba dan anak pun sudah selamat lahir. Jadi saya mengamalkan pemanduan berhemah. :D

Tiada sakit lagi.
Saya tiba di Hospital Kuala Krai, jam 9 malam. Tak dapat melawat isteri, kerana waktu melawat telah tamat, tapi boleh berjumpa di tingkap bilik wad. Sakit dah hilang, kata isteri. "Doktor tengok dulu malam ni macam mana, kalau esok takde tanda, jalan terbuka luas, doktor akan masukkan ubat."

Masukkan ubat (induce).
Rakan-rakan yang berpengalaman bersalin kata, kalau induce ni, sakitnya lebih lagi. Kesian isteri saya. Doa kepada yang Maha Pengasih jua saya panjatkan, moga Dia mengasihani isteri dan meringankan sedikit beban sakit bersalin. Jam 11 pagi, Khamis, 7 April 2011, dek kerana jalan keluar tidak terbuka luas untuk bersalin secara normal, doktor memasukkan ubat (induce), dengan harapan, jalan keluar akan terbuka luas, dan boleh bersalin secara normal, bayi di dalam kandungan sudah berak, dikhuatiri anak akan terkena jangkitan kuman nanti. Jam 12 tengahari, jalan keluar masih kecil, baru 2 cm. Isteri hantar SMS, "Sakitnya bang." Hanya doa dan selawat yang tak putus-putus mendoakan isteri, jua yang termampu dilakukan si suami.

Ya Allah! Sakitnya.
Pukul 1 tengahari, jururawat memanggil saya masuk menemankan isteri yang sedang diimbas (scan) dengan alat CTG, yang dipasangkan di perutnya. Wajah isteri yang begitu berkerut-kerut, berpeluh-peluh, tangannya ligat mengusap-usap, memicit-micit pangkal peha. "Bang, sakitnya bang, Ya Allah, sakitnya." Saya tergamam, tak tahu apa yang patut diucapkan. Bibir kumat-kamit berselawat kepada Nabi, sambil tangan saya memicit-micit peha dan bahagian belakang isteri. Dari jam 1.15 tengahari, hinggalah 2.30 petang, isteri saya menanggung kesakitan, yang saya lihat, begitu dahsyat. Ini semua Sunnatullah (ketetapan Allah), ibu yang melahirkan akan pasti menanggung kelemahan, demi kelemahan.

Bilik Bedah Penuh.
"Awak suaminya Nurul Asyikin ka? Kita terpaksa hantar isteri awak ke Hospital Tanah Merah, sebab pembedahan mesti dibuat. Anak awak dah berak dalam kandungan, dan jalan keluar tak buka luas lagi, jadi kita terpaksa buat pembedahan." Kata doktor dengan pantas sekali. Saya dengan muka ternganga, kelam kabut, hanya mengangguk "emm". "Kita tak jangka masalah ni timbul, kita ingat nak bedah di sini, tapi sebab bilik bedah penuh, dengan bermacam-macam kes arini, dengan accidentnya, dengan bedah bersalinnya, jadi jalan yang selamat, kita hantar ke Hospital Tanah Merah. Kita nak antar Hospital Kota Bharu, tapi tadi kita baru antar sorang patient ke KB, jadi ni kita antar ke Tanah Merah." Dengan penuh cuak, saya menyusul di belakang ambulans ke Hospital Tanah Merah.

Minta pampers.
Saya tiba lewat 15 minit lewat dari ambulans (tak berani bawa laju-laju). Umi dan ayah saudara sudah menunggu di dewan bersalin. Saya menanti-nanti, jika ada peluang dipanggil untuk menemankan isteri di dewan bersalin. Lama menunggu, akhirnya seorang jururawat keluar "waris Nurul Asyikin Mustaffa ada? Aaa, nak minta pampers," katanya. "Eh, baby dah keluar ke? Tak panggil saya pun?" soal saya. Rupa-rupanya, setibanya isteri dengan ambulans di Hospital Tanah Merah, jalan keluar bayi sudah terbuka luas, Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan anak sulung kami secara normal. Bayi lelaki, seberat 2.65kg, lahir pada pukul 4.22 petang, 7 April 2011, 3 Jamadil Awal 1432 H.



Terima kasih kepada anda semua.
Kerana anda semua mendoakan, memberi nasihat, panduan, serta memberi ucapan-ucapan yang baik kepada kami dan anak. Kami berterima kasih kepada anda semua.

Amirul Faiz Abd. Razak (kini seorang abah). :)
Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Jalan-jalan cari sampel - Siri 2 (Kampung Batu Balai).

Ekspedisi memungut sampel di Jerantut.

Selepas selesai kami membeli sedikit buah tangan dari kedai keropok lekor di Paka, Terengganu. Kami bertolak ke Jerantut, Pahang. Rumah mak ayah kepada pemandu, En. Roslan. Perjalanan mengambil masa kira-kira 4 jam dari Paka ke Kampung Batu Balai, Jerantut. Kampung ini dah hampir dengan Benta. Kami tiba ke destinasi sekitar pukul 6 petang.

Aktiviti masuk hutan, untuk memungut sampel, akan kami mulakan pada pagi esok harinya. Di waktu petang itu, aktiviti kami hanyalah melihat sekitar kawasan ladang kelapa sawit, ayahnya En. Roslan, dan juga mengutip sedikit ulam-ulaman seperti ulam raja untuk dimakan pada malam nanti.

Pagi Ahad, 27 Mac 2011, selepas bersarapan, kami terus masuk ke dalam ladang dan hutan bagi memungut sampel-sampel yang berpotensi untuk dikaji lebih lanjut. Seperti biasa, bila masuk hutan, binatang kecil yang ditakuti, semestinya pacat! Hehe. Berikut gambar-gambar semasa aktiviti kami di Kampung Batu Balai, Jerantut.

Buah Kelubi yang belum cukup masak.

Naim guna parang cungkil akar pokok Tongkat Ali.

En. Husin, pengamal minuman air rebusan herba, menunjukkan pokok kelubi.

Mengenal ciri-ciri pokok Tongkat Ali.
En. Husin, ayah kepada pemandu, En. Roslan, telah menunjukkan saya, satu cara untuk mengenal pokok Tongkat Ali. Daun Tongkat Ali tidak akan lunyai, walau dilipat sekecil mana dan diramas sebanyak mana pun. Jangan disiat, kalau siat, memang daun itu akan koyak, tapi lipat kecil-kecil, atau ramas-ramaskan. Bentuk asal daun Tongkat Ali tidak berubah, cuma terdapat kesan-kesan lipatan. Nak senang faham, hayati video amatur di bawah.


Kami mendapat sungguh banyak pengalaman yang begitu seronok sekali, semasa berada di sana.

Menjelang zohor, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Moga akan ada lagi peluang sebegini pada masa akan datang. Ya, seronok beraktiviti di kawasan hutan semulajadi, rasa dekat dengan alam, rasa Maha Berkuasanya Allah, dari tanah yang sama, pelbagai pohon yang Dia tumbuhkan, dengan pelbagai khasiat.

Amirul Faiz Abd. Razak
Hospital Tanah Merah, Kelantan

Sunday, April 3, 2011

Jalan-jalan cari sampel - Siri 1 (Bukit Bauk).


Perancangan awalnya, kami hendak ke Bukit Bauk, Terengganu, untuk mengumpul sampel bersama-sama dengan Wak Sani. Tapi malangnya, Wak Sani memutuskan untuk pulang awal, Jumaat 25 Mac 2011. Tatkala itu, kami sudah sampai Temerloh. Agak mendukacitakan, tapi oleh kerana kenderaan universiti telah ditempah hingga ke hari Ahad, 27 Mac 2011, maka aktiviti mengumpul sampel kali ini, lebih bercorak jalan-jalan. :)

Wak Sani balik Bangi, kami terus ke Paka.
Kami berjumpa dengan Wak Sani di Kemaman. Dia dan kumpulannya sedang dalam perjalanan balik ke UKM, Kampus Bangi. Dia menyerahkan 2 guni sampel spesis pokok kayu manis dan kemudian meneruskan perjalanannya. Kami pula meneruskan perjalanan ke Paka, di mana kami akan bermalam dan keesokan harinya, kami akan ke Bukit Bauk.

Kami menginap di sebuah homestay yang selesa dan berpatutan harganya. Ia terletak berdekatan dengan Masjid Taman Hadhari. Kadar sewa homestay tersebut, RM100 untuk semalam. Esok pagi Sabtu, 26 Mac 2011, kami akan masuk ke hutan Bukit Bauk, untuk memungut sedikit sebanyak sampel tumbuhan, tanpa panduan dan bimbingan dari Wak Sani.

Mesti ada kebenaran.
Oleh kerana Wak Sani sudah pulang ke Bangi, maka kami tiada jurupandu untuk memungut sampel tumbuhan di hutan Bukit Bauk. Seorang kakitangan yang menjaga pintu masuk ke hutan tersebut, memaklumkan kami mesti ada kebenaran dari Pejabat Hutan Negeri untuk memungut sampel. "Tak boleh amek sampel ler nampaknye."

Jadi kami pun sekadar berekreasi melalui tapak jalan yang telah disediakan sejauh 500 meter. Apa yang menarik dalam hutan ini? Selain boleh mengenal pokok-pokok, di dalam hutan ini ada pacat. Ye, kalau tak sedar, tahu-tahu pacat dah banyak hisap darah. Hehe.








Kami pusing-pusing sekitar kawasan Bukit Bauk ini, termasuk laluan trek joggingnya.

Aktiviti kami seterusnya, menuju ke Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang.

Sebelum ke sana, singgah dulu kedai keropok lekor, beli sedikit buah tangan.


Entri berikutnya, akan menceritakan aktiviti kami di Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang.

Monday, March 28, 2011

Penantian Suatu Kelahiran

Isteri dengan anak saudara.

Pertama sekali, alhamdulilah, penantian kami, semakin ke penghujung. Bukan sedikit cabarannya. Pelbagai rintangan dihadapi, menanti anugerah Ilahi yang tidak ternilai ini.

Pengalaman yang amat bernilai.
Di minggu-minggu awal kehamilan, pasangan muda seperti kami termangu-mangu apa yang patut kami lakukan. Bercampur baur rasa, rasa takut, cemas, berdebar-debar kami hadapi cabaran alam keibubapaan.

Ujian-ujian di sepanjang minggu-minggu kehamilan, sedikit sebanyak menggoncang ikatan cinta kami suami isteri. Bila diuji sebegini, barulah kami kenal dengan sedalam-dalamnya kelemahan diri sendiri. Barulah saya benar-benar merasai dan asyik dengan manisnya kasih sayang isteri. Memetik lirik lagu Maher Zain, "I thank Allah for sending me, you my love."

Kelemahan demi kelemahan.
Rasa kasih kepada isteri bertambah-tambah, apabila melihat isteri dengan penuh sabar menjalankan kerja rumah, dengan perut yang makin membesar, dengan timbulnya kesan-kesan terik (stretch mark). Duduk tak senang, baring pun tak senang, anak bergerak-gerak dalam perut isteri.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Surah Luqman, Ayat 14.

Ya Allah, ringankanlah beban yang ditanggung isteriku dalam melahirkan anak ini. Ameen.

Anak sulung kami dijangka akan lahir pada 16 April 2011.

Friday, February 18, 2011

Tahniah Abang Di & Ain.

Penyerahan mas kahwin.

Hari yang dijanji dah tiba. Rombongan dari Paloh, Gua Musang sampai dengan selamatnya malam 11 Febuari 2011 (Jumaat). Agenda utamanya, pernikahan Abang Di dengan Ain pada malam esoknya (Sabtu) di Taman Sri Jenaris, Saujana Impian, Kajang.

Berkumpul
Kami berkumpul pada petang Sabtu 12 Febuari 2011 di rumah saya. Kasihan kepada tetamu yang bertandang ke rumah saya, terpaksa memanjat tingkat 5 dan bersesak dalam rumah yang kecil. Tapi kami semua gembira, riang meraikan pengantin yang bakal diijabkabul malamnya nanti.

Akad nikah
Abang Di dah mula risau sikit. Diselak-selak buku panduan perkahwinan. Diulangkaji semula rukun sembahyang yang 13 itu. Hehe, saya rasa, saya faham debaran pengantin sebelum diijabkabul. :)

Alhamdulillah, walaupun berpeluh-peluh (debaran tambah dengan panas), Abang Di selamat dinikahkan dengan Ain oleh bapa Ain sendiri, dengan sekali lafaz berserta raptai (rehearsal akad nikah).

Kami sekeluarga, sanak-saudara serta rakan-rakan mendoakan Abang Di & Ain berbahagia hingga akhir hayat. Biar sampai syurga. Ameen.

"Apabila telah berkahwin, maka sempurnalah separuh dari iman orang itu." Kata jurunikah yang membacakan khutbah nikah.

Sedap, dapat makan kat meja pengantin. :)

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.
_________________________________________________
Hmm, nampaknya, ulangtahun pertama perkahwinan saya dan isteri bakal diraikan di Paloh 3, Gua Musang. Sekejap jer dah setahun.

Monday, February 7, 2011

Prepare Sample For Gas Chromatography


This is just a revision for me on how to prepare sample to run it through gas chromatography. The sample that I want to prepare is the methanolic extract of Curcuma xanthoriza and Curcuma domestica. Both related to ginger. First, wash the vial with the solvent that we want to use. In this exercise we use acetone.



After that, put 10 drops of acetone (another set, not the one used for washing the vial) into the vial. Then, put 5 drops of the methanolic extract.


Close the vial, wrap the cap with parafilm, to avoid the sample from evaporate when we store the sample till use.



As you can see, the steps are simple. This is just to prepare the sample, the difficult part will be setting up the machine, and the hardest part is to interpret the data.

Thanks a lot to Ms. Kartini, for showing me the procedure to prepare the sample.

What do you think? Are we doing it the right way? We don't refer to any books or procedure, so the steps we performed here is open for discussion.

What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi.

"Fuhhh.. Terkial-kial saya nak menulis dalam Bahasa Inggeris. Kalau anda rasa kelakar, emm, gelak je la ye." :)

Wednesday, February 2, 2011

Bukan Senang Nak Jadi Ibubapa


Pagi itu, isteri mengadu kiraan gerak janin tak cukup 10 kali, dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. Hati risau, iyalah, ini merupakan pengalaman kami yang pertama, takut perkara yang tak dingini berlaku. Lantas kami ke Dewan Bersalin Hospital Serdang. Dewan Bersalin ini terletak bersebelahan dengan Jabatan Kecemasan. Tak terfikir saya, isteri akan dimasukkan ke wad.

Setelah diimbas (scan), janin nampaknya normal, jantung berdenyut, menampakkan tanda-tanda yang semuanya ok. Tapi doktor ingin memantau lebih lanjut, lalu isteri saya dimasukkan ke wad bersalin, 5F, katil nombor 11.


Tak bawa bekal pakaian.
"Kau tak bawak bekal pakaian ke? Eeaa, kalau gi spital, check biasa-biasa pun kena bawak bekal pakaian, kot-kot kena tahan wad ke." Mak berpesan dari hujung talian telefon. Apa lagi, kelam kabut saya, balik ke rumah, ambil pakaian isteri, tudung, ambil bekal makanan kering, biskut, air minum dan sebagainya. Telekung pun kena bawa juga. "Hehe, ni pertama kali saya kemaskan beg baju untuk isteri. Selalunya isteri yang kemaskan beg baju saya." :D

Bukan senang nak jadi ibubapa.
Ini baru dugaan peringkat hamil. Banyak dugaan dan cabaran lagi menanti. Bila berada di wad bersalin, seronok tengok orang lain dengan bayi masing-masing. Anak menangis tak henti-henti, dengan  penuh sabar dan penuh kasih sayang, si ibu mententeramkan anak. Orang lain keluar wad bawa bayi, kami keluar wad, bayi dalam perut lagi.


Kepada belia muda remaja yang sedang mabuk bercinta, "pabila anda berkahwin, anda mahu anak kan? Ingatlah, bukan senang nak jadi ibubapa."

Akhirnya, saya tabik ibu-ibu dan bapa-bapa yang menjadi contoh tauladan cemerlang kepada anak-anak. Saya kagum melihat ibubapa yang penuh kasih sayang, penuh kesabaran dan penuh hikmah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak menjadi modal insan paling berharga kepada keluarga, bangsa dan negara.

Kata mak, "haa, bukan senang orang nak panggil 'ibu'."
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). - Surah Luqman, ayat 14.
What we do in life echoes in eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Monday, January 31, 2011

Konsert Diraja UKM 2011

Kad jemputan ke Konsert Diraja UKM 2011.

Bersempena dengan hari keputeraan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM, Konsert Diraja UKM 2011 telah diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Menggantikan orang.
Saya pada mulanya tidak merancang untuk hadir ke konsert ini. Tapi setelah diminta oleh En. Saidi, untuk menggantikan dia yang dijemput ke konsert tersebut, saya terima saja. Risau rasanya kerana tema pakaian yang diminta ialah 'Black Tie' untuk lelaki, dan kebaya / kurung untuk perempuan. Namun lega, apabila melihatkan, hanya dif-dif kehormat sahaja yang perlu betul-betul mengikut tema. Bagi saya orang biasa, pakaian formal sudah memadai.

Beza penyanyi amatur dan profesional.
Seperti sudah boleh diduga, penganjur sengaja menjadualkan acara supaya nyanyian artis jemputan di penghujung. Bagi mengekalkan penonton berada dalam dewan hingga akhir konsert. Dua persembahan dari pelajar UKM, saya dapati, sebutan mereka kurang jelas. Saya sukar menangkap, apa yang mereka dendangkan. Ditambah pula dengan musik orkestra yang mengiringi nyanyian mereka. Bunyi musik orkestra lebih kuat dari suara mereka.

Tiba masa untuk acara nyanyian artis jemputan. Saya dan isteri teruja apabila Francisca Peter muncul dengan membawakan empat buah lagu. Saya benar-benar dapat merasakan, betapa jauh bezanya persembahan penyanyi amatur dan profesional. Suara Francisca Peter benar-benar lantang dan jelas, seiring dengan musik orkestra yang kuat. Mengkagumkan!

Francisca Peter menyampaikan lagu Sekadar Di Pinggiran.

"Wah! tak payah nak pergi IB, dah dapat tengok Francisca Peter live. Aritu dengar kat Sinar FM jer." Kata isteri saya yang minat dengan lagu 'Sekadar Di Pinggiran'.

Begitu juga dengan artis jemputan yang berikutnya, Roy, suaranya jelas, tidak tenggelam dengan musik orkestra yang kuat.

Yang paling bagus tentang konsert ini ialah, masuk percuma! Hehehe..

Menanti pula konsert nasyid di DECTAR.

What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Sunday, January 30, 2011

Majlis Kahwin Di Dewan Bahasa & Pustaka

Kami sekeluarga, abah, mak, Najwa, Zul, saya dan isteri telah memenuhi jemputan majlis resepsi perkahwinan saudara sebelah abah. Resepsi, kata orang sekarang. Saya lebih suka istilah kenduri, ataupun kenduri kesyukuran, lebih rasa Melayu dan ada rasa hubungkait sedikit sebanyak dengan Tuhan. Bahkan rukun Negara yang pertama juga menyebut ; Kepercayaan Kepada Tuhan.

Menyimpang sedikit tentang istilah resepsi dan kenduri. Majlis perkahwinan tersebut telah diadakan di Dewan Bankuet, Tingkat 1, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Dek kerana peta ke lokasi majlis tidak tepat, ditambah pula dengan alat GPS yang kurang canggih, alhasil, perjalanan yang sepatutnya hanya 30minit dari Bangi, menjadi hampir sejam.

Mana jatidiri Melayu?
Suasana majlis begitu meriah. Sedikit yang mencacatkan majlis, pakaian pengantin perempuannya.

Pandangan dari jauh sahaja.

"Pengantin moden!" Kata Pak Tam, anak saudara kepada abah. Pak Tam merupakan bapa saudara kepada pengantin lelaki. Melihat kepada pasangan pengantin, fahamlah saya kenapa Pak Tam berkata begitu. Pengantin lelaki lengkap berbaju Melayu sepasang, lengkap bersongkok. Pengantin perempuan pula, pakaiannya kebaya ketat, rambut dilepaskan, aurat tidak dijaga. Aduhai. "Tengok tu, berapa ribu pasang mata yang memandang tu? Tu semua kena jawab nanti kat akhirat." Tambah Pak Tam lagi.

Rata-rata tetamu wanita yang hadir, berpakaian seperti 'meminta lelaki menenung susuk tubuh mereka'. Hilai ketawa mereka, amboi, tak ada segan silu! Ke mana menghilang, gadis Melayu yang pemalu, yang segan membuka mulut luas-luas pabila tertawa.

Mungkin kerana dunia tanpa sempadan, jatidiri Melayu yang kaya dengan adab sopan, layu melayu kepada kuasa pengaruh asing.

Cukuplah sekadar renungan buat rakan-rakan saya yang percaya bahawa setiap perbuatan mereka akan disoal kelak dihadapan Allah. Bagi yang tak percaya dan tiada segan silu, buatlah apa yang anda suka. Saya sekadar mengingatkan diri sendiri.

Kedai buku Dewan Bahasa & Pustaka
Alang-alang sudah berada di Menara DBP, kami pun melawat kedai buku DBP sebelum bertolak pulang.


Hehe, posing jer nih. :D

Abah belek buku dwibahasa Melayu Arab.

Isteri saya, Nurul Asyikin Mustafa.


Zul berposing dengan buku.

 Mak dan Najwa.

Ironinya, saya terjumpa buku ini.

Adat dan Pantun Perkahwinan Melayu; Penyeri Impian Teruna dan Dara.

Mari fikir sejenak. "Takkan Melayu hilang didunia!" Kata Hang Tuah. Tapi jika diamati, jatidiri Melayu (adab sopan, segan silu, berhemah dalam berkata) semakin pudar ditelan gelombang hedonisme yang nampaknya begitu menyeronokkan.

Apa pun, saya mendoakan, moga kita semua senantiasa dalam Rahmat Hidayah Allah. Moga kita semua yang mengaku mengucap dua kalimah syahadah (termasuk mereka yang tidak menjaga aurat) dapat mengucap dua kalimah syahadah tersebut disaat hembusan nafas terakhir. Ameen.

Sungguhpun begitu, keseronokan menghadiri majlis kahwin saudara mara ialah apabila dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim, kenal mengenal sesama saudara.

Gambar kenang-kenangan di sekitar majlis tersebut.




Hukum alam, Sunnatullah, hidup ini tidak boleh bersendirian, kita saling memerlukan.

Selamat pengantin baru.


What we do in life echoes in eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi