Thursday, May 19, 2011

Selamat Kembali Ke Rahmatullah, Pak Besar.


Tengahari Rabu, 18 Mei 2011, mak menelefon, menyampaikan berita tergempar. Abah yang berada di Singapura, menghantar SMS "Pak Besar telah meninggal dunia, baru kejap tadi." Innalillahi wa 'inna ilaihi raji'un. Sesungguhnya kita milikNya dan kepadaNya jua kita kembali. Pak Besar menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar pukul 2.00 petang di hospital di Singapura.

Saya, mak, dan adik bongsu Zul, bertolak ke Singapura pukul 9.30 malam dari Melaka. Perjalanan mengambil masa kira-kira 3 jam ke Singapura, kami tiba di rumah arwah pukul 2.00 pagi. Suasana hiba menyelubungi diri. Baru sebulan yang sudah, kami sekeluarga menziarahi Pak Besar yang sakit tenat. Pak Besar kehilangan berat badan yang sangat drastik. Sangat kurus. Makan juga tidak berselera. Teringat kata Pak Besar "Nanti bila Pak Besar dah sihat, Pak Besar nak buat kenduri sikit, pindah rumah baru, dalam bulan lapan nanti."

Ajal itu urusan Allah

Firman Allah dalam surah Al 'Araf, ayat 34 :

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan (lambatkan) walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka dahulukan (percepatkan).

Pak Besar mula sakit tenat hingga dimasukkan ke hospital sejak Isnin yang lalu. Petang Rabu itu, roh Pak Besar dijemput kembali bertemu Allah, Yang Esa. Sungguh ini adalah suatu peringatan bagi kita semua. Masa kita kembali kepada Pencipta kita, pasti akan tiba.

Semoga Allah merahmati roh Pak Besar dan mengampunkan dosa-dosanya serta menempatkan rohnya di kalangan roh-roh orang muslim. Ameen.

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka

No comments:

Post a Comment