Friday, April 8, 2011

Selamat Lahir Anakku, Abah Umi Menunggu.


Pagi Rabu 6 April 2011, isteri yang berada di Paloh 3, Gua Musang, Kelantan, memberitahu melalui telefon, sudah ada tanda-tanda hendak bersalin. Saya bersiap-sedia dengan memasukkan beg baju ke dalam kereta. Pagi Rabu ini, ada taklimat dari Naib Canselor UKM, bagi kakitangan yang baru dilantik, majlis berakhir jam 11.30. Pukul 10 pagi, isteri menghantar SMS, Klinik Kesihatan Chiku akan menghantarnya ke Hospital Kuala Krai kerana sudah ada tanda sedikit bayi di dalam kandungan sudah berak. Sekiranya laluan untuk bayi keluar, tak cukup besar, maka pembedahan harus dijalankan, dan Hospital Kuala Krai merupakan hospital yang terdekat dari Paloh, yang berupaya menjalankan pembedahan. Hospital Gua Musang tidak boleh menjalankan pembedahan (mungkin tiada peralatan kot.)

Isteri dikejarkan ke Hospital Kuala Krai, dari Klinik Kesihatan Chiku, dengan ambulans. Isteri tiba di Hospital Kuala Krai sekitar jam 12 tengahari. Saya pula bertolak dari Kuala Lumpur, sekitar jam 2 petang, setelah mendapatkan surat jaminan (guarantee letter) dari Pejabat Fakulti Farmasi. Dah terbayang waktu itu, saya akan tiba dan anak pun sudah selamat lahir. Jadi saya mengamalkan pemanduan berhemah. :D

Tiada sakit lagi.
Saya tiba di Hospital Kuala Krai, jam 9 malam. Tak dapat melawat isteri, kerana waktu melawat telah tamat, tapi boleh berjumpa di tingkap bilik wad. Sakit dah hilang, kata isteri. "Doktor tengok dulu malam ni macam mana, kalau esok takde tanda, jalan terbuka luas, doktor akan masukkan ubat."

Masukkan ubat (induce).
Rakan-rakan yang berpengalaman bersalin kata, kalau induce ni, sakitnya lebih lagi. Kesian isteri saya. Doa kepada yang Maha Pengasih jua saya panjatkan, moga Dia mengasihani isteri dan meringankan sedikit beban sakit bersalin. Jam 11 pagi, Khamis, 7 April 2011, dek kerana jalan keluar tidak terbuka luas untuk bersalin secara normal, doktor memasukkan ubat (induce), dengan harapan, jalan keluar akan terbuka luas, dan boleh bersalin secara normal, bayi di dalam kandungan sudah berak, dikhuatiri anak akan terkena jangkitan kuman nanti. Jam 12 tengahari, jalan keluar masih kecil, baru 2 cm. Isteri hantar SMS, "Sakitnya bang." Hanya doa dan selawat yang tak putus-putus mendoakan isteri, jua yang termampu dilakukan si suami.

Ya Allah! Sakitnya.
Pukul 1 tengahari, jururawat memanggil saya masuk menemankan isteri yang sedang diimbas (scan) dengan alat CTG, yang dipasangkan di perutnya. Wajah isteri yang begitu berkerut-kerut, berpeluh-peluh, tangannya ligat mengusap-usap, memicit-micit pangkal peha. "Bang, sakitnya bang, Ya Allah, sakitnya." Saya tergamam, tak tahu apa yang patut diucapkan. Bibir kumat-kamit berselawat kepada Nabi, sambil tangan saya memicit-micit peha dan bahagian belakang isteri. Dari jam 1.15 tengahari, hinggalah 2.30 petang, isteri saya menanggung kesakitan, yang saya lihat, begitu dahsyat. Ini semua Sunnatullah (ketetapan Allah), ibu yang melahirkan akan pasti menanggung kelemahan, demi kelemahan.

Bilik Bedah Penuh.
"Awak suaminya Nurul Asyikin ka? Kita terpaksa hantar isteri awak ke Hospital Tanah Merah, sebab pembedahan mesti dibuat. Anak awak dah berak dalam kandungan, dan jalan keluar tak buka luas lagi, jadi kita terpaksa buat pembedahan." Kata doktor dengan pantas sekali. Saya dengan muka ternganga, kelam kabut, hanya mengangguk "emm". "Kita tak jangka masalah ni timbul, kita ingat nak bedah di sini, tapi sebab bilik bedah penuh, dengan bermacam-macam kes arini, dengan accidentnya, dengan bedah bersalinnya, jadi jalan yang selamat, kita hantar ke Hospital Tanah Merah. Kita nak antar Hospital Kota Bharu, tapi tadi kita baru antar sorang patient ke KB, jadi ni kita antar ke Tanah Merah." Dengan penuh cuak, saya menyusul di belakang ambulans ke Hospital Tanah Merah.

Minta pampers.
Saya tiba lewat 15 minit lewat dari ambulans (tak berani bawa laju-laju). Umi dan ayah saudara sudah menunggu di dewan bersalin. Saya menanti-nanti, jika ada peluang dipanggil untuk menemankan isteri di dewan bersalin. Lama menunggu, akhirnya seorang jururawat keluar "waris Nurul Asyikin Mustaffa ada? Aaa, nak minta pampers," katanya. "Eh, baby dah keluar ke? Tak panggil saya pun?" soal saya. Rupa-rupanya, setibanya isteri dengan ambulans di Hospital Tanah Merah, jalan keluar bayi sudah terbuka luas, Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan anak sulung kami secara normal. Bayi lelaki, seberat 2.65kg, lahir pada pukul 4.22 petang, 7 April 2011, 3 Jamadil Awal 1432 H.



Terima kasih kepada anda semua.
Kerana anda semua mendoakan, memberi nasihat, panduan, serta memberi ucapan-ucapan yang baik kepada kami dan anak. Kami berterima kasih kepada anda semua.

Amirul Faiz Abd. Razak (kini seorang abah). :)
Hospital Tanah Merah, Kelantan.

No comments:

Post a Comment