Sunday, April 11, 2010

Peperiksaan

Pelajar universiti warna-warni, kalau pelajar sekolah seragam dengan uniform sekolah.

Sewaktu menjadi pelajar dahulu, saya tidak pernah terfikir tentang mereka yang berkerja di sebalik tabir, mengurus perjalanan sesebuah peperiksaan, supaya berjalan dengan lancar. Dari segi kertas soalannya, kertas jawapan, benang untuk ikat kertas jawapan, pengurusan kualiti dari segi penjagaan kerahsiaan / sulit kertas-kertas soalan. Rupa-rupanya, semua tugas-tugas ini memerlukan kakitangan yang cekap, dalam memastikan peperiksaan yang dijalankan menepati piawaian ISO.

Kini baru saya nampak dengan nyata, apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir suatu peperiksaan itu. Memang agak rumit, prosedur yang perlu dipatuhi untuk mengekalkan piawaian peperiksaan itu sendiri. Saya telah ditugaskan sebagai penghantar kertas soalan, dari Bilik Kebal ke Dewan Peperiksaan yang telah ditetapkan.

Peredaran zaman nyata membawa bersamanya perubahan yang ketara. Sekarang, setiap orang mesti memiliki sekurang-kurangnya satu telefon bimbit. Untuk meminimumkan peluang calon-calon peperiksaan dari meniru, maka telefon bimbit dilarang dibawa bersama semasa peperiksaan. "Wow! Canggih-canggih handset student nih."

Sebahagian telefon bimbit pelajar yang dikumpul di bilik kuarantin calon peperiksaan.


Bentuk lain peperiksaan
Bila sebut peperiksaan, kita selalu bayangkan dewan periksa, pengawas peperiksaan, slip peperiksaan, borang kehadiran yang mesti diisi dan segalanya yang berkaitan dengan peperiksaan di dewan peperiksaan. Saya pertama kali terlibat dalam membantu perjalanan peperiksaan OSPHE. "Apa OSPHE tu?" tanya saya pada rakan sekerja. "Aaa... yang aku tahu E tu exam.." jawab rakan saya. Hehe. 

Seorang calon peperiksaan (memakai 'lab coat') memberi preskripsi kepada Dr. Hanif Zulfakar.

Peperiksaan OSPHE ini nampak agak berlainan, kerana pelajar bidang Farmasi ini akan menjawab soalan, seolah-seolah mereka adalah ahli farmasi di alam nyata. Mereka perlu memberi preskripsi ubat-ubat yang diperlukan pesakit (pensyarah akan berlakon sebagai pesakit), dan pelajar-pelajar ini akan menerangkan aturan makan ubat-ubat tersebut, cara makan ubat, bilangan ubat yang diambil dan sebagainya. Seperti yang kita biasa alami bila menerima ubat di kaunter-kaunter ubat.

Saya lantas meng'google' (ada tak istilah ini dalam Kamus Dewan?) apa itu OSPHE. Baru saya tahu, OSPHE itu ialah 'Objective Structured Public Health Exam'. Saya kira, pelajar-pelajar dalam gugusan bidang perubatan, pasti akan melalui peperiksaan OSPHE ini.

Minggu Peperiksaan
Mulai dari 12 April 2010 hingga 30 April 2010, pelajar-pelajar akan menduduki peperiksaan akhir semester II sesi akademik 2009-2010. Saya terkenang zaman saya menjadi pelajar dan menduduki peperiksaan. Memang seronok jadi pelajar.

Kepada rakan pembaca yang akan menduduki peperiksaan, Selamat Maju Jaya. Banyakkan Selawat Tafrijiyah, semoga dipermudahkan Allah urusan kita semua.

What We Do In Life Echoes In Eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment