Thursday, April 15, 2010

Boleh nampakkah ikhlas seseorang?

Gambar hiasan, untuk menarik perhatian pembaca.

Kita selalu mendengar dialog begini apabila memberi sesuatu (pertolongan, wang ringgit, idea dan sebagainya) kepada seseorang, "terima kasih, susah-susah jer, err, ikhlas ni?". Kita pastinya, secara spontan akan menjawab "eh, ikhlas..". Kemudian selalunya, kita akan ditanya lagi "betul ikhlas ni? Muka macam tak ikhlas jer..".

Timbul persoalan di minda, "kalau si pemberi tak ikhlas, si penerima tak boleh terima ke?" Kenapa kita mesti pastikan orang yang memberi itu benar-benar ikhlas? Adakah kerana kita takut, si pemberi itu mengharapkan balasan dari kita? (Kalau si pemberi itu tidak ikhlas). Mungkin ya, bagi kes-kes tertentu, seperti si teruna mahu menolong si dara, pasti terdetik dalam hati si dara "mesti nak harapkan sesuatu nih..". Adakah pertolongan si teruna itu tidak ikhlas?

Saya fikir, bukanlah tugas kita untuk menilai keikhlasan orang lain. Persoalan-persoalan di atas, hanyalah sekadar berkongsi pandangan (yang tak berapa jelas) dengan anda.

Mari kita lihat penerangan tentang ikhlas dari Ustaz Zaharuddin.
Namun liciknya Syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja puji orang bawahan.
Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘ tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya.
Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi s.a.w bahawa ‘ujub itu menghancur amalan. Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain.
Klik sini untuk baca artikel penuh tentang ikhlas dari Ustaz Zaharuddin.

Yang saya faham, ikhlas itu perlu kepada perjuangan. Perjuangan yang selalunya kita (saya dan anda) tewas. Kita menuntut ilmu kerana apa? Adakah benar-benar kerana Allah? Bukan kerana mengejar harta dunia? Betulkah begitu?

Ampunkan kami Ya Allah. Bantulah kami mengikhlaskan amal ibadah (solat, puasa, menuntut ilmu, bekerja di pejabat, memberi nafkah, membantu golongan lemah, dan sebagainya) semata-mata keranaMu Ya Allah. Ameen.

Berbalik kepada gambar hiasan di atas, adakah pensyarah itu ikhlas dalam kerjanya mengajar pelajar-pelajar? Seperti yang saya tulis di perenggan atas, bukanlah tugas kita untuk menilai keikhlasan orang lain.

Adalah amat penting sekali, kita menilai keikhlasan diri sendiri. Tepuk dada, tanya iman. Boleh jadi, orang yang menderma RM1 (mengharapkan redha Allah semata-mata) lebih ikhlas dari yang menderma RM10,000 (mengharapkan pujian orang ramai).

Dan juga,

Boleh jadi orang yang bekerja tanpa mengharap sebarang habuan dunia tidak ikhlas (kerana terdetik di hatinya, ujub, rasa ajaib dengan diri sendiri), "aku jer yang boleh buat camni, kerja amal sana-sini, tapi aku tak harap apa-apa balasan wang ringgit sesen pun..". Mungkin terdetik di hatinya, kalaupun tak diucapkan depan khalayak.
Berbanding dengan orang yang bekerja dengan menerima habuan dunia yang sekadar keperluan hidupnya.

Wallahu'alam, Allah Maha Mengetahui.

Apa pandangan anda rakan-rakan pembaca sekalian?

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment