Wednesday, April 28, 2010

Tayar botak itu mesti ditukar.

Motorku tersadai di tepi lebuhraya MEX.
 
Tepat 5.06 petang, saya log keluar dari pejabat, bergegas ke motorsikal. Dalam minda, sudah ada gambaran untuk sesi pembentangan malam nanti. Perjalanan lancar, hinggalah di kilometer 8.5 Lebuhraya Maju ExpressWay (MEX). Aduh, bocor pula tayar belakang motor ini. Jauh lagi nak sampai rumah kat Bangi. Tolong...

Beberapa bulan yang lalu, saya ada menulis tentang tayar kereta yang botak hingga nampak benang. Kini, perkara yang sama, berlaku pula pada tayar belakang motorsikal yang saya sedang tunggang. Memburukkan keadaan, saya tersadai di tengah-tengah MEX.

Alhamdulillah, ada beberapa penunggang motor yang lalu di situ, berhenti seketika, bertanyakan keadaan. Terima kasih kepada seorang brader askar (nampak dia pakai uniform macam pegawai askar) yang berhenti seketika.

Dah nampak benang kan? Huhu..

Brader : "Nape bang?"
Saya : "Tayar bocor la.. Ada nombor mekanik ke?"
Brader : "Takde, tapi amek nombor ni 03-83159000 , nombor peronda lebuhraya MEX, nanti diaorang cuba tolongla.."

Lama juga saya terpaksa tunggu di tepi lebuhraya itu, hampir 20 minit. Sebuah kereta peronda MEX menghampiri saya. Tapi, seperti sudah dijangka, peronda lebuhraya tidak dapat membantu penunggang motor, melainkan memberi nombor telefon mekanik yang berhampiran.

Saya : "Hello.. boleh tolong tak? Tayar motor saya bocor la.."
Mekanik : "Boleh, abang kat mana? Tayar motor apa bang?"

Alhamdulillah, dalam 25 minit mekanik/Jimmy sampai dengan membawa tayar baru. Fuh! Lega rasa hati. Caj yang dikenakan :
Tiub - RM25, Tayar - RM55.

Mekanik Jimmy yang cekap menukar tayar dan tiub.

Sukacita saya hebahkan di sini, buat penunggang motorsikal yang mungkin mengalami masalah macam saya, nombor telefon mekanik Jimmy, 017-3011898 (jika anda tersandai di kawasan Lembah Klang).

Saya rancang untuk hadir ke kelas malam nanti, tapi Allah jua yang menentukan. Hikmahnya, saya kena cari sendiri, dan sentiasa mencari.

Tak Mahu Berlalu Begitu Saja.
What We Do In Life Echoes In Eternity.


Amirul Faiz Abd. Razak
43560 Bandar Baru Bangi
______________________________________
p/s : Terima kasih kepada ahli kumpulan MBA@UTeM, Kak Nita dan Lina yang mewakili saya dalam kelas malam nanti.

Flow Cytometry, wah! apa itu?

Image taken from here.

Saya mahu belajar tentang perkara ini :

Oxidative burst Study for Analysis of ROS Modulators -
This test allows determination of leukocyte oxidative burst in heparinized whole blood as well with isolated Phagocytes.

"Err... ade sesaper yang boleh ajarkan saya pasal mende alah ni?" Saya berlatarbelakang bidang 'Bioteknologi Tumbuhan', kalau berkenaan dengan tumbuh-tumbuhan, mudah sedikit untuk saya faham. Flow Cytometry ini benda yang tersangatlah baru untuk saya.

Entry ini lebih kepada penyataan misi kepada diri sendiri, bahawa saya boleh belajar teknik-teknik mengendalikan ujian ini. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Yeah. :D

Doakan saya terang hati. InsyaAllah, apa yang saya pelajari, akan saya kongsikan di blog ini.

Tak Mahu Berlalu Begitu Sahaja
What We Do In Life Echoes In Eternity


Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Wednesday, April 21, 2010

Belajar Buat Kuih Donut.

Mari makan donut, gambar ini membuatkan saya lapar.

Masuk pagi hujung minggu ini, sudah 8 minggu, kami sekeluarga (diketuai oleh Mak) melibatkan diri dalam projek kecil-kecilan 'Menyediakan Juadah Minum Pagi Untuk Bakal Haji'. Juadah minum pagi yang disediakan selalunya terdiri dari menu utama (biasanya ada rasa pedas-pedas sikit), kuih manis dan air teh o atau teh susu. Pengalaman yang berharga mesti saya dokumenkan, untuk tatapan di masa hadapan, dan juga untuk perkongsian dengan pembaca yang lain.
Pagi Ahad yang lalu, saya dan isteri bersama-sama membantu emak menyediakan juadah minum pagi untuk seramai 230 orang peserta. Peluang untuk saya belajar sesuatu yang baru dari emak. Selalunya kalau mak minta saya tolong sesuatu yang berkaitan dengan masak-memasak, saya akan bagi alasan "alaa, orang tak reti la mak..". Yang tersirat di sebalik alasan itu ialah, saya tak mahu mencuba, tak mahu belajar. "Hehe, sorry mak.."

Apa pun, berikut adalah apa yang saya belajar dari mak, cara membuat kuih donut.

Ini adalah yis basah yang di potong hampir sebesar sekeping tahu.

Mula-mula kita akan uli dulu tepung gandum sebanyak 1kg. Masukkan majerin planta sebanyak sesenduk, gaul sampai sebati. Masukkan telur sebiji dan akhir sekali air yang dicampurkan dengan yis basah dan 2 sudu susu pekat manis. Kuantiti air, agak-agak, kalau sikit sangat, adunan jadi keras. Kalau air banyak sangat, adunan jadi lembik sangat, tak boleh nak bentuk jadi bulat-bulat donut. Video demonstrasi seperti di bawah.
Doughnut, Donut, How To Make Doughnut. from amirulfaiz on Vimeo.

Lepas siap adunan diuli, kita biarkan adunan kembang sekejap. Nak tahu adunan dah siap diuli ialah bila kita tengok adunan dah lembut dan teksturnya tiada lagi kelihatan ketul-ketul kecil tepung bergentel.
Hehe, penulis berkain pelekat menguli tepung, bersila di lantai.

Seterusnya, selepas dah kembang adunan itu, kita bentuk bulat-bulat kecil. Kemudian terus kita tekap dengan penutup botol untuk membuat lubang ditengah-tengah. Taburkan tepung gandum sedikit di atas dulang yang kita gunakan untuk tebuk lubang donut itu, supaya donut tidak melekat atas dulang.

Dah siap tebuk lubang, masukkan dalam minyak panas. Jangan biarkan donut terlalu lama atas dulang, nanti donut itu mengembang dan semakin kecil lah lubang donut itu. Selesai digoreng, kita salut donut-donut itu dengan gula pasir halus.

Alhamdulillah, dah boleh makan donut buatan sendiri lepas ni. :)

Saya bukanlah pakar dalam bidang masakan, entri ini sekadar nukilan merakamkan kenangan belajar kuih bersama emak.

Selamat mencuba. Hehe.. Mungkin anda lebih pakar dalam masak-memasak ini dari saya.

Kesan amalan kekal selamanya.
What We Do In Life Echoes In Eternity
.

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Thursday, April 15, 2010

Boleh nampakkah ikhlas seseorang?

Gambar hiasan, untuk menarik perhatian pembaca.

Kita selalu mendengar dialog begini apabila memberi sesuatu (pertolongan, wang ringgit, idea dan sebagainya) kepada seseorang, "terima kasih, susah-susah jer, err, ikhlas ni?". Kita pastinya, secara spontan akan menjawab "eh, ikhlas..". Kemudian selalunya, kita akan ditanya lagi "betul ikhlas ni? Muka macam tak ikhlas jer..".

Timbul persoalan di minda, "kalau si pemberi tak ikhlas, si penerima tak boleh terima ke?" Kenapa kita mesti pastikan orang yang memberi itu benar-benar ikhlas? Adakah kerana kita takut, si pemberi itu mengharapkan balasan dari kita? (Kalau si pemberi itu tidak ikhlas). Mungkin ya, bagi kes-kes tertentu, seperti si teruna mahu menolong si dara, pasti terdetik dalam hati si dara "mesti nak harapkan sesuatu nih..". Adakah pertolongan si teruna itu tidak ikhlas?

Saya fikir, bukanlah tugas kita untuk menilai keikhlasan orang lain. Persoalan-persoalan di atas, hanyalah sekadar berkongsi pandangan (yang tak berapa jelas) dengan anda.

Mari kita lihat penerangan tentang ikhlas dari Ustaz Zaharuddin.
Namun liciknya Syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja puji orang bawahan.
Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘ tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya.
Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi s.a.w bahawa ‘ujub itu menghancur amalan. Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain.
Klik sini untuk baca artikel penuh tentang ikhlas dari Ustaz Zaharuddin.

Yang saya faham, ikhlas itu perlu kepada perjuangan. Perjuangan yang selalunya kita (saya dan anda) tewas. Kita menuntut ilmu kerana apa? Adakah benar-benar kerana Allah? Bukan kerana mengejar harta dunia? Betulkah begitu?

Ampunkan kami Ya Allah. Bantulah kami mengikhlaskan amal ibadah (solat, puasa, menuntut ilmu, bekerja di pejabat, memberi nafkah, membantu golongan lemah, dan sebagainya) semata-mata keranaMu Ya Allah. Ameen.

Berbalik kepada gambar hiasan di atas, adakah pensyarah itu ikhlas dalam kerjanya mengajar pelajar-pelajar? Seperti yang saya tulis di perenggan atas, bukanlah tugas kita untuk menilai keikhlasan orang lain.

Adalah amat penting sekali, kita menilai keikhlasan diri sendiri. Tepuk dada, tanya iman. Boleh jadi, orang yang menderma RM1 (mengharapkan redha Allah semata-mata) lebih ikhlas dari yang menderma RM10,000 (mengharapkan pujian orang ramai).

Dan juga,

Boleh jadi orang yang bekerja tanpa mengharap sebarang habuan dunia tidak ikhlas (kerana terdetik di hatinya, ujub, rasa ajaib dengan diri sendiri), "aku jer yang boleh buat camni, kerja amal sana-sini, tapi aku tak harap apa-apa balasan wang ringgit sesen pun..". Mungkin terdetik di hatinya, kalaupun tak diucapkan depan khalayak.
Berbanding dengan orang yang bekerja dengan menerima habuan dunia yang sekadar keperluan hidupnya.

Wallahu'alam, Allah Maha Mengetahui.

Apa pandangan anda rakan-rakan pembaca sekalian?

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Visi, apa yang kamu lihat?

Poster yang akan digantung

Beberapa hari yang lalu, kami telah siap memasang 15 buah poster yang memaparkan Penyata Visi dan Misi Fakulti Farmasi, UKM. Kerja-kerja berjalan lancar kerana dilakukan oleh pekerja yang mahir dalam kerja-kerja menggerudi. Cuma mengambil masa kerana tempat / dinding yang perlu dipasang dengan poster terletak berjauhan antara satu dengan lain. Tempat-tempat yang telah dipilih, adalah tempat-tempat yang strategik (tumpuan pelajar dan kakitangan Fakulti Farmasi).

Namun, apa pentingnya Penyata Visi dan Misi ini? Sehingga perlu dipasang di tempat-tempat yang strategik. Saya fikir, pastinya poster Penyata Visi Misi ini penting, jika tidak, masakan ia dipasang malah dibingkaikan cantik-cantik.

Kerja-kerja memasang poster di tempat-tempat strategik.

Ya, ia pasti sesuatu yang penting diketahui oleh orang ramai, khususnya kakitangan Fakulti Farmasi dan juga pelajar-pelajar. Kenapa ia penting? Kerana (pendapat saya), visi akan menghala segala usaha dan gerak kerja kita ke arah suatu matlamat yang jelas. Apa makna visi? Visi / "vision" bermaksud penglihatan, dalam konteks Penyata Visi dan Misi ini, Visi bolehlah difahami dengna kata mudah 'Penglihatan kita menjangkaui masa hadapan, tentang keadaan sesuatu organisasi'.* Atau dalam bahasa yang lebih mudah visi = cita-cita.*

Ok, bagaimana pula dengan Misi? Misi / "mission" bermaksud usaha / gerak kerja kita yang mesti kita lakukan dengan cemerlang dalam mencapai visi / cita-cita kita itu.*

Cuba baca Penyata Visi dan Misi syarikat gergasi seperti Google.
Google's mission is to organize the world's information and make it universally accessible and useful.
Wah! Misi Google ialah menyusunaturkan maklumat-maklumat DUNIA dan membolehkan ia dicapai dan digunakan secara UNIVERSAL. Hebat!

Visi dan Misi peribadi kita pula bagaimana? Jika sudah jelas dengan visi dan misi peribadi sendiri, baguslah. Jika belum, usahakan, supaya semakin jelas tujuan kita di atas muka bumi ini.

Sekian dahulu, kongsikan pendapat anda tentang 'Penyata Visi dan Misi' di ruangan komen di bawah ya.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur.
 _________________________________________________
*Ini hanyalah pendapat saya sahaja. :)

Sunday, April 11, 2010

Peperiksaan

Pelajar universiti warna-warni, kalau pelajar sekolah seragam dengan uniform sekolah.

Sewaktu menjadi pelajar dahulu, saya tidak pernah terfikir tentang mereka yang berkerja di sebalik tabir, mengurus perjalanan sesebuah peperiksaan, supaya berjalan dengan lancar. Dari segi kertas soalannya, kertas jawapan, benang untuk ikat kertas jawapan, pengurusan kualiti dari segi penjagaan kerahsiaan / sulit kertas-kertas soalan. Rupa-rupanya, semua tugas-tugas ini memerlukan kakitangan yang cekap, dalam memastikan peperiksaan yang dijalankan menepati piawaian ISO.

Kini baru saya nampak dengan nyata, apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir suatu peperiksaan itu. Memang agak rumit, prosedur yang perlu dipatuhi untuk mengekalkan piawaian peperiksaan itu sendiri. Saya telah ditugaskan sebagai penghantar kertas soalan, dari Bilik Kebal ke Dewan Peperiksaan yang telah ditetapkan.

Peredaran zaman nyata membawa bersamanya perubahan yang ketara. Sekarang, setiap orang mesti memiliki sekurang-kurangnya satu telefon bimbit. Untuk meminimumkan peluang calon-calon peperiksaan dari meniru, maka telefon bimbit dilarang dibawa bersama semasa peperiksaan. "Wow! Canggih-canggih handset student nih."

Sebahagian telefon bimbit pelajar yang dikumpul di bilik kuarantin calon peperiksaan.


Bentuk lain peperiksaan
Bila sebut peperiksaan, kita selalu bayangkan dewan periksa, pengawas peperiksaan, slip peperiksaan, borang kehadiran yang mesti diisi dan segalanya yang berkaitan dengan peperiksaan di dewan peperiksaan. Saya pertama kali terlibat dalam membantu perjalanan peperiksaan OSPHE. "Apa OSPHE tu?" tanya saya pada rakan sekerja. "Aaa... yang aku tahu E tu exam.." jawab rakan saya. Hehe. 

Seorang calon peperiksaan (memakai 'lab coat') memberi preskripsi kepada Dr. Hanif Zulfakar.

Peperiksaan OSPHE ini nampak agak berlainan, kerana pelajar bidang Farmasi ini akan menjawab soalan, seolah-seolah mereka adalah ahli farmasi di alam nyata. Mereka perlu memberi preskripsi ubat-ubat yang diperlukan pesakit (pensyarah akan berlakon sebagai pesakit), dan pelajar-pelajar ini akan menerangkan aturan makan ubat-ubat tersebut, cara makan ubat, bilangan ubat yang diambil dan sebagainya. Seperti yang kita biasa alami bila menerima ubat di kaunter-kaunter ubat.

Saya lantas meng'google' (ada tak istilah ini dalam Kamus Dewan?) apa itu OSPHE. Baru saya tahu, OSPHE itu ialah 'Objective Structured Public Health Exam'. Saya kira, pelajar-pelajar dalam gugusan bidang perubatan, pasti akan melalui peperiksaan OSPHE ini.

Minggu Peperiksaan
Mulai dari 12 April 2010 hingga 30 April 2010, pelajar-pelajar akan menduduki peperiksaan akhir semester II sesi akademik 2009-2010. Saya terkenang zaman saya menjadi pelajar dan menduduki peperiksaan. Memang seronok jadi pelajar.

Kepada rakan pembaca yang akan menduduki peperiksaan, Selamat Maju Jaya. Banyakkan Selawat Tafrijiyah, semoga dipermudahkan Allah urusan kita semua.

What We Do In Life Echoes In Eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Sunday, April 4, 2010

Samakah bendalir dengan cecair?

Mesin mengukur kelikatan bendalir.

Bagaimana kita mengklasifikasikan kepekatan bendalir seperti berikut : jem, minyak masak, minyak rambut, gel rambut, krim muka, syampu dan sebagainya? Ubat gigi macam cecair, tapi kepekatannya tak sama dengan pembasuh muka. Minyak pelincir mesin pun begitu juga, minyak pelincir untuk mesin, tak sama dengan minyak pelincir untuk enjin. Pasti ada cara untuk kita mengukur kelikatan sesuatu cecair itu, kemudian dari itu, kita boleh mempiawaikan kelikatan cecair yang dihasilkan itu.

"Apa mende 'likat' tu?" Saya bertanya masa mula-mula mendengar istilah 'likat' masa belajar dulu. Kalau saya boleh guna istilah yang lebih mudah, 'likat' sama seperti pekat. Tapi bagaimana kita nak kata ubat gigi lebih pekat dari sos cili maggi? Saya fikir, kita jarang-jarang guna istilah 'likat' dalam menggambarkan kepekatan sesuatu cecair (ataupun bentuk macam cecair).

Video rakaman amatur ini menunjukkan sedikit amali seorang pelajar menggunakan mesin rheometer ini untuk mengukur kelikatan krim ubat sapu 'analgesic Flanil'.

Rheologi

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mempelajari sedikit tentang Rheometer. Rheometer merupakan sebuah mesin/alat untuk mengukur kelikatan sesuatu sampel itu (cecair, bahan macam cecair contohnya gel, jem). Mesin Rheometer ini boleh mengukur 'viscosity' = kelikatan.

Hehe, saya tak berapa faham lagi tentang kelikatan (viscosity) ini, jadi untuk entri ini, bolehlah saya katakan ini entri pengenalan kepada rheologi. Jika pembaca yang mahir, atau mempunyai ilmu dalam bidang ini, sudi-sudilah kiranya berkongsi dengan kita semua ya.


What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur.