Tuesday, March 2, 2010

Saya Terima Nikahnya.

Dua keluarga disatukan. Dari kiri, abah dan mak mertua, saya, isteri (Nurul Asyikin Mustafa), mak dan abah.
Alhamdulillah, segala pujian itu selayaknya adalah untuk Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Muhammad S.A.W. yang sentiasa dirindui. Sempurna sudah penantian selama 6 bulan selepas mengikat janji (bertunang), kini sah hidup sebagai suami dan isteri. :)

Rombongan Pengantin Lelaki

Konvoi 4 buah kereta, Myvi, Saga, Saga dan Waja.

Perjalanan ke Gua Musang mengambil masa yang agak lama kerana kami berkonvoi sebanyak 4 buah kereta. Terima kasih kepada Mak,Abah,Zul,Najwa, Pak Ngah & Mak Ngah, Pak Itam, Mak Itam, Pasya, Mat, Azhari & Keluarga serta Nek Onye. Kalian semua terbaik dalam menyerikan lagi majlis penting dalam hidup saya ini. Terima kasih sekali lagi.

Pukul 10 pagi, bertolak ke Gua Musang, berhenti rehat dan solat di R&R Genting Sempah. Kemudian meneruskan perjalanan terus Gua Musang. Sebelum ke Paloh 3, kami singgah sebentar di rumah Abang Riduan Baba (jiran, kawan baik abah di kampung). Selepas solat magrib, kami meneruskan perjalanan ke Paloh 3. Tiba di Paloh 3 sekitar jam 9.30 malam.

Tiba di rumah pengantin perempuan.

Terima kasih tidak terhingga kepada Abah mertua dan Mak mertua yang telah menyediakan rumah tumpangan yang sangat kondusif di dalam perkampungan KESEDAR Paloh 3. Rumah kampung berciri tradisional, berlantai papan, menyejukkan badan di malam hari. Mak Yah, tuan rumah juga begitu peramah, membuatkan kami satu rombongan berasa sangat selesa di rumah beliau.

Bergambar kenangan, mak dan Mak Yah di jendela rumah beliau yang sangat best.

Pakcik Offer, Saya Accept.

Detik penantian semakin hampir. Jantung berdegup laju, adrenalin mengalir dalam salur darah, laju giat otak mengulang-ulang lafaz kalimah jawapan yang betul. Semua mata tertumpu kepada pengantin lelaki di tengah-tengah ruang tamu itu.

Abah mertua bersedia untuk melafazkan ungkapan tawaran.

Abah mertua membentangkan borang-borang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan. Selepas semua borang memuaskan hati, abah mertua terus melafazkan tawaran (tanpa berjabat tangan) :
Amirul Faiz B. Abd. Razak, aku nikahkan dikau dengan anak aku Nurul Asyikin Binti Mustafa dengan maskahwinnya sebanyak RM6000 tunai...
Kerana kaget, lafaz terima tawaran dari saya terpaksa diulang sekali lagi. (Dua kali lafaz.. Hehe..)gemuruh ni.
Saya terima nikahnya, dengan maskahwinnya seperti yang tersebut..
"Boleh?" soal abah mertua kepada saksi pertama. Saksi pertama mengangguk. "Boleh?" abah mertua minta pandangan dari saksi kedua pula. Saksi kedua mengisyaratkan boleh.

Alhamdulillah.....

Usai doa, pesan abah mertua "Syikin banyak yang tak tahu, kamu ajar lah dia yer.."

Dengan hati yang berdebar "InsyaAllah." jawab saya.

Permulaan Episod Baru

Perjalanan yang jauh lagi mencabar, bermula.

Selesai sudah majlis akad nikah di rumah bekas tunang saya (sekarang dah jadi isteri) hehe. Majlis kenduri di rumah saya di Melaka adalah pada 13 Mac 2010.

Di kesempatan ini, saya menjemput anda semua yang berkesempatan, untuk memeriahkan lagi majlis kenduri di Melaka nanti.

Doakan kami dikurniakan rahmat dari Allah, tenang dalam melayari kehidupan ini. Ameen. Doaku untuk kalian semua, moga Allah berkati segala usaha kebaikan kita. Ameen.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment