Tuesday, March 16, 2010

Alhamdulillah, Terima Kasih kepada anda semua.

Dari kiri : Adik ipar, Yusry b. Ahlan, Adik, Najwa Farhana Bte. Abd. Razak, Isteri saya Nurul Asyikin Bte. Mustafa dan saya.

Majlis kenduri kahwin sebelah pihak lelaki (saya) telah selamat berlangsung pada Sabtu, 13 Mac 2010 yang lepas. Turut sekali melangsungkan perkahwinan pada hari tersebut ialah, adik saya Najwa Farhana Bte. Abd. Razak dengan pasangannya Yusry B. Ahlan. Kerja-kerja persiapan untuk majlis kenduri ini telah memenuhkan hampir keseluruhan masa saya, menyebabkan blog ini senyap seketika.

Namun, syukur kepada Allah, dengan limpah RahmatNya, saya masih berkesempatan untuk sedikit sebanyak mencoret peristiwa yang berlaku, buat rujukan generasi saya yang akan datang (Hehe.. Anak pun belum ada lagi).

Kesempatan ini saya gunakan untuk mengucapkan Jutaan Terima Kasih, kepada semua rakan-rakan yang hadir di majlis kenduri itu, rakan-rakan yang memberikan hadiah, dan juga kepada rakan-rakan yang mendoakan semoga saya dan isteri bahagia hingga akhir hayat. Kasih sayang yang kalian tunjukkan amat saya hargai. Allah jua akan membalas jasa baik kalian. Ameen.

Hampir terlepas pandang, Berjuta-juta Terima Kasih juga kepada ahli qariah (orang kampung) yang bertungkus lumus menyumbang tenaga, masa, wang ringgit dan sebagainya, dalam menjayakan majlis kenduri ini. Jasa baik kalian, sungguh, dibawa mati. Allah jua akan membalas jasa baik kalian. Ameen.


Perbezaan antara kita.

Puji-puji bagi Allah yang telah mengizinkan cuaca cerah lagi tenang sepanjang majlis kenduri ini berlangsung. Perasaan saya pada hari itu, bercampur-baur. Nampak gembira, tapi bimbang, kalau-kalau ada masalah timbul semasa majlis berlangsung. Apa yang saya bimbangkan benar-benar berlaku, perselisihan pegangan adat Kelantan dan adat Melaka menimbulkan sedikit suasana tidak enak. Tambahan pula, ketaksuban terhadap adat masing-masing mengeruhkan lagi keadaan.

Alhamdulillah, pendekatan yang Abah ambil, "Alaa, biarla dia nak wat ikut cara dia" memulihkan keadaan kepada sediakala. Saya selalu juga mendengar cerita-cerita tentang perkahwinan melibatkan berlainan adat, bila mengalaminya sendiri, baru saya benar-benar mengerti sedalamnya akan permasalahan yang timbul.

Walaubagaimanapun, perbezaan seperti ini, patut kita fahamkan betul-betul, supaya tindakbalas kita terhadap perbezaan ini tidak keterlaluan sehingga memperbesarkan masalah.

Apa-apa pun, saya sekali lagi mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada anda semua, yang datang, yang tak dapat datang, yang beri hadiah dan juga yang mendoakan. Sejuta kemaafan dipohon andai ada yang tidak kena sebelum, semasa dan selepas majlis ini berlangsung.

Bahagia itu suatu perjalanan, teruskanlah berjalan. Di sepanjang perjalanan itu, barulah kita dapat merasai angin nikmatnya bahagia itu.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment