Tuesday, March 30, 2010

Ampunkan kami Ya Allah, Niat kami untuk mengkaji, bukan suka-suka.

Alhamdulillah, dapat juga saya mencuri sedikit masa untuk berkongsi sedikit dari pengalaman saya yang tak seberapa ini. Minta maaf kepada pengunjung blog ini yang mungkin hampa kerana terlalu lama saya tidak kemaskini blog dengan entri-entri yang baru, maaf khususnya kepada 'blogwalker' sekalian yang tak jemu berjalan-jalan. :)

Saya berpeluang untuk belajar sesuatu yang menggeletarkan tangan dan lutut saya (menggigil yang bukan dibuat-buat). Tn. Hj. Baharom Suboh menunjukkan bagaimana seorang profesional yang sudah mahir, membunuh tikus makmal secara 'cervical dislocation' yang bermaksud membunuh dengan cepat secara mengenakan tekanan pada bahagian leher menyebabkan 'spinal column' beralih dari tengkorak atau otak. Secara mudah, ayat orang ramai, membunuh dengan merosakkan tulang belakang di bahagian leher.

Secara jujur, saya tak tergamak sebenarnya nak tunjukkan video bagaimana 'pembunuhan' ini dilakukan, tetapi atas dasar ingin berkongsi pengalaman, saya gagahkan diri menulis dan berkongsi sedikit maklumat bagaimana kajian melibatkan otak haiwan dilakukan. Amaran!!! kepada pembaca yang lemah semangat dan ibu-ibu mengandung, adalah dinasihatkan sebenar-benar nasihat dan sekeras-keras nasihat, untuk tidak menonton video ini..


Tikus-tikus ini telah disuntik dengan ekstrak tumbuhan herba. Kajian yang dijalankan Saudari Yani ini adalah untuk mengkaji kesan ekstrak tumbuhan herba ke atas neurotransmitter (kalau saya tak silap), maka, sampel tisu otak yang diperlukan mestilah dalam keadaan segar.

Oleh sebab itu, tikus-tikus itu tidak dimatikan dengan kaedah lain seperti menggunakan kloroform atau secara suntikan berlebihan. Tikus-tikus itu mesti dimatikan dengan kaedah 'cervical dislocation' ini, melalui teknik ini, tikus-tikus mati, tetapi jantungnya masih berdegup sementara, bermakna, semasa tisu otak tikus diambil, kita akan dapat memaksimumkan kesegaran tisu otak tikus itu (darah masih mengalir ke otak tikus, sehinggalah tikus dipenggal).

Sebenarnya, saya kurang ilmu untuk menjelaskan penyelidikan yang dijalankan ini. Sekiranya anda dapati kesilapan fakta dalam penjelasan saya, maklumkan ya.

Saya fikir, ini yang dapat saya kongsikan sedikit di kesempatan waktu yang amat terhad ketika ini. Ya Allah, ampunkan kami, kami berniat untuk mengkaji ciptaanMu. Ampunkan kami, Ya Allah.

Saya minta maaf kepada pembaca yang terganggu emosi belas kasih setelah menonton video di atas. Kami jalankan kajian ini dengan niat mengkaji ciptaan Allah. Bukan untuk suka-suka.

Terima kasih membaca entri ini hingga penghujungnya. Tinggalkan komen bernas anda dibawah ya. Terima Kasih.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur 

Tuesday, March 16, 2010

Menyewa tempat berteduh dari hujan panas.

Gambar hiasan; Rumahku, syurgaku.

Sewaktu mula-mula mendapat tawaran kerja di Fakulti Farmasi, UKM, KL, saya agak gusar. "Nak duduk kat mana eah? Nanti dah kawen, camner ngan isteri?" antara persoalan-persoalan yang bermain di minda. Saya cuba cari di laman web mudah.my. Memang mudah, banyak juga pilihan rumah sewa yang boleh saya pilih untuk menetap bersama dengan isteri sepanjang berkhidmat di UKM, KL nanti.

Perkara tak diingini berlaku.

Hampir 2 minggu saya menetap di rumah sewa Ayie dan rakan-rakan. Pencarian rumah sewa sekitar kawasan Bangi / Keramat / Ampang telah bermula. Maha Suci Allah, yang menjadikan sesuatu itu mengikut kehendakNya. Saya, Ayie dan Anip telah pergi ke Kampung Pasir, Ampang untuk melihat sendiri rumah sewa yang ditawarkan. Rumah teres 1 tingkat, bersambung dari rumah tuan punya tanah. Dalamnya kosong, cuma ada kipas siling, sinki dapur. 2 bilik, 1 bilik air. Sewa sebulan RM450 sebulan. Deposit 2 bulan, tambah bayar sewa sebulan, tambah deposit api dan air, jumlah keseluruhan deposit RM 1550.00.

Tuan rumah : "Kalau kamu nak fikirkan lagi tentang rumah ni, boleh, pakcik tak paksa."
Saya : "Oklah, pakcik, saya fikirkan dulu, kalau saya berkenan, saya call pakcik" (Tapi hati saya dah lebih 80% nak sewa rumah itu)

Tuhan saja yang tahu betapa saya kecewa bila panggilan telefon saya dijawab oleh makcik (isteri pakcik tadi).

Makcik : "Minta laa maaf nak, makcik baru jer amek deposit dari satu orang ni ha.."
Saya : " Allah... ye ke makcik.. aiseh... Emmm, takpela makcik, dah takde rezeki kan.."
Makcik : "Minta maaf banyak-banyak yer.."

Rasa seperti sudah tiada harapan lagi masa tu. Ayie dan Anip tenang memberi sokongan membantu saya mencari lagi rumah-rumah yang boleh disewa di sekitar Bangi / Keramat / Ampang.

Barulah saya tahu hikmah yang tersembunyi.

Suatu petang di pejabat, saya mendapat SMS dari En. Zull yang menawarkan rumah sewa flet tingkat 5 di seksyen 7 Bandar Baru Bangi, 'fully furnish' katanya. Saya lantas mengajak Ayie dan Anip untuk meninjau rumah sewa flet tersebut. Agak lewat juga En. Zull sampai di rumah sewa flet tersebut, hampir pukul 10 malam. Saya dan Ayie jangka, bila tuan rumah kata 'fully furnish', 'furniture' yang mungkin ada ialah katil dan almari baju saja.

Terkejutnya saya bila melihat banyaknya perabot yang telah tersedia dalam rumah sewa flet berkenaan. Antaranya, meja makan (biasa jer), kusyen untuk 2 orang duduk, dapur gas, tong gas yang masih penuh, periuk, kuali, pinggan mangkuk, cawan, peti ais, mesin basuh, set bilik tidur (katil besar, almari baju, meja solek, TV, kabinet TV dan meja kopi. Alhamdulillah ya Allah. Dapat jimat sikit duit untuk mula hidup berkeluarga ni.

En. Zull : "Sewa sebulan RM450, deposit 1 bulan tambah bayar untuk sewa 1 bulan, api air bayar lepas duduk nanti la. Tapi Selangor kalau air bawah RM20 tak yah bayar"
Saya : "Kalau macam tu, malam ni jugak saya bagi deposit tu kat awak. Macam-macam perabot yang dah sedia ada dalam rumah nih. Saya tak nak jadi macam yang kat Kampung Pasir aritu"
En. Zull : "Eh, nanti dulu, kakak saya nak kemaskan barang-barang personal dia dulu, nanti encik bayar ngan mak saya lah."

Antara perabot yang sedia ada dalam rumah sewa ini.

Gambar sekitar hari pertama mengemas rumah sewa.

Alhamdulillah, terima kasih kepada Ayie dan Anip yang sudi menolong memberikan pandangan dalam membuat pilihan untuk menyewa rumah ini. Sewaktu saya di Gua Musang, Ayie telah membantu saya dalam urusan penyerahan deposit rumah dan pengambilan kunci rumah sewa flet tersebut.

Hanya lafaz kalimah Alhamdulillah yang dapat menggambarkan betapa gembiranya saya.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Syukur, dapat rumah sewa untuk saya dan isteri berteduh dari hujan panas buat sementara waktu.

p.s : Kalau nak ziarah rumah saya, telefonlah dulu ya.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur.

Alhamdulillah, Terima Kasih kepada anda semua.

Dari kiri : Adik ipar, Yusry b. Ahlan, Adik, Najwa Farhana Bte. Abd. Razak, Isteri saya Nurul Asyikin Bte. Mustafa dan saya.

Majlis kenduri kahwin sebelah pihak lelaki (saya) telah selamat berlangsung pada Sabtu, 13 Mac 2010 yang lepas. Turut sekali melangsungkan perkahwinan pada hari tersebut ialah, adik saya Najwa Farhana Bte. Abd. Razak dengan pasangannya Yusry B. Ahlan. Kerja-kerja persiapan untuk majlis kenduri ini telah memenuhkan hampir keseluruhan masa saya, menyebabkan blog ini senyap seketika.

Namun, syukur kepada Allah, dengan limpah RahmatNya, saya masih berkesempatan untuk sedikit sebanyak mencoret peristiwa yang berlaku, buat rujukan generasi saya yang akan datang (Hehe.. Anak pun belum ada lagi).

Kesempatan ini saya gunakan untuk mengucapkan Jutaan Terima Kasih, kepada semua rakan-rakan yang hadir di majlis kenduri itu, rakan-rakan yang memberikan hadiah, dan juga kepada rakan-rakan yang mendoakan semoga saya dan isteri bahagia hingga akhir hayat. Kasih sayang yang kalian tunjukkan amat saya hargai. Allah jua akan membalas jasa baik kalian. Ameen.

Hampir terlepas pandang, Berjuta-juta Terima Kasih juga kepada ahli qariah (orang kampung) yang bertungkus lumus menyumbang tenaga, masa, wang ringgit dan sebagainya, dalam menjayakan majlis kenduri ini. Jasa baik kalian, sungguh, dibawa mati. Allah jua akan membalas jasa baik kalian. Ameen.


Perbezaan antara kita.

Puji-puji bagi Allah yang telah mengizinkan cuaca cerah lagi tenang sepanjang majlis kenduri ini berlangsung. Perasaan saya pada hari itu, bercampur-baur. Nampak gembira, tapi bimbang, kalau-kalau ada masalah timbul semasa majlis berlangsung. Apa yang saya bimbangkan benar-benar berlaku, perselisihan pegangan adat Kelantan dan adat Melaka menimbulkan sedikit suasana tidak enak. Tambahan pula, ketaksuban terhadap adat masing-masing mengeruhkan lagi keadaan.

Alhamdulillah, pendekatan yang Abah ambil, "Alaa, biarla dia nak wat ikut cara dia" memulihkan keadaan kepada sediakala. Saya selalu juga mendengar cerita-cerita tentang perkahwinan melibatkan berlainan adat, bila mengalaminya sendiri, baru saya benar-benar mengerti sedalamnya akan permasalahan yang timbul.

Walaubagaimanapun, perbezaan seperti ini, patut kita fahamkan betul-betul, supaya tindakbalas kita terhadap perbezaan ini tidak keterlaluan sehingga memperbesarkan masalah.

Apa-apa pun, saya sekali lagi mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada anda semua, yang datang, yang tak dapat datang, yang beri hadiah dan juga yang mendoakan. Sejuta kemaafan dipohon andai ada yang tidak kena sebelum, semasa dan selepas majlis ini berlangsung.

Bahagia itu suatu perjalanan, teruskanlah berjalan. Di sepanjang perjalanan itu, barulah kita dapat merasai angin nikmatnya bahagia itu.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Tuesday, March 9, 2010

Sisa yang aktif radio.

Sesiapa yang terlibat dengan kerja-kerja di makmal sains hayat / makmal kimia pasti akan berdepan dengan kerja-kerja pembuangan sisa-sisa bahan kimia yang telah digunakan. Ada antara sisa-sisa bahan kimia ini sangat berbahaya. Yang terbaru, saya berpeluang mengikuti kerja-kerja membuang sisa bahan kimia radioaktif. Apa itu bahan radioaktif? Adakah bahan itu aktif mendengar radio?

Saya kurang arif, jadi saya berlayar ke alam maya, melalui Google, saya terjah ke web About.com dan menjumpai penjelasan seperti ini :
Unstable atomic nuclei will spontaneously decompose to form nuclei with a higher stability. The decomposition process is called radioactivity. The energy and particles which are released during the decomposition process are called radiation. When unstable nuclei decompose in nature, the process is referred to as natural radioactivity. When the unstable nuclei are prepared in the laboratory, the decomposition is called induced radioactivity.
Jika saya boleh terjemahkan ke bahasa, penjelasan tentang radioaktif adalah seperti berikut :
Nukleus-nukleus atom yang tidak stabil akan secara spontan terurai untuk membentuk nukleus-nukleus dengan kestabilan yang tinggi. Proses penguraian itu dipanggil keradioaktifan. Tenaga dan partikel-partikel yang terbebas semasa proses penguraian dipanggil radiasi. Apabila nukleus-nukles tidak stabil mengurai dalam alam semulajadi, proses itu dirujuk sebagai keradioaktifan semulajadi. Apabila nukleus-nukleus tidak stabil disediakan di dalam makmal, penguraian itu dipanggil keradioaktifan ditindakkan.
Haha, terjemahan ke bahasa seperti tidak berbunyi cukup saintifik kan?

Untuk menggambarkan dengan mudah apa itu keradioaktifan :


Errr.. Tak mudah rupanya nak faham.

Saya sendiri masih belajar nak faham bagaimana radioaktif ni berbahaya kepada organisma hidup. Bagaimana radioaktif ini terjadi, dan sebagainya.

Menguruskan sisa radioaktif yang kurang berbahaya.

Bila mendengar perkataan radioaktif, imej pertama yang datang di minda ialah :


Bila berurusan dengan bahan radioaktif yang tinggi.

Akan tetapi, oleh kerana sisa radioaktif yang ada di makmal di sini kurang radioaktif, maka kita tidak perlu mengenakan kostum ala-ala astronaut tu.

Beginilah secara ringkas, bagaimana sisa-sisa bahan kimia di Fakulti Farmasi, UKM diuruskan. Pihak Agensi Nuklear Malaysia akan memproses sisa-sisa bahan kimia itu sebelum dilupuskan oleh mereka.

Peralatan perlindungan : Kot Makmal dan Sarung Tangan sudah memadai.

Yang penting dalam pengurusan bahan-bahan kimia ini ialah labelnya. Kalau botol tiada label, Agensi Nuklear Malaysia tak akan ambil sisa bahan kimia tersebut.

Label radioaktif.

Ini adalah sedikit sebanyak pengalaman saya bekerja di Bahagian Makmal Fakulti Farmasi. Harap maaf kerana terlalu lambat saya kemaskini blog ini.

Sehingga bertemu lagi.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Tuesday, March 2, 2010

Saya Terima Nikahnya.

Dua keluarga disatukan. Dari kiri, abah dan mak mertua, saya, isteri (Nurul Asyikin Mustafa), mak dan abah.
Alhamdulillah, segala pujian itu selayaknya adalah untuk Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Muhammad S.A.W. yang sentiasa dirindui. Sempurna sudah penantian selama 6 bulan selepas mengikat janji (bertunang), kini sah hidup sebagai suami dan isteri. :)

Rombongan Pengantin Lelaki

Konvoi 4 buah kereta, Myvi, Saga, Saga dan Waja.

Perjalanan ke Gua Musang mengambil masa yang agak lama kerana kami berkonvoi sebanyak 4 buah kereta. Terima kasih kepada Mak,Abah,Zul,Najwa, Pak Ngah & Mak Ngah, Pak Itam, Mak Itam, Pasya, Mat, Azhari & Keluarga serta Nek Onye. Kalian semua terbaik dalam menyerikan lagi majlis penting dalam hidup saya ini. Terima kasih sekali lagi.

Pukul 10 pagi, bertolak ke Gua Musang, berhenti rehat dan solat di R&R Genting Sempah. Kemudian meneruskan perjalanan terus Gua Musang. Sebelum ke Paloh 3, kami singgah sebentar di rumah Abang Riduan Baba (jiran, kawan baik abah di kampung). Selepas solat magrib, kami meneruskan perjalanan ke Paloh 3. Tiba di Paloh 3 sekitar jam 9.30 malam.

Tiba di rumah pengantin perempuan.

Terima kasih tidak terhingga kepada Abah mertua dan Mak mertua yang telah menyediakan rumah tumpangan yang sangat kondusif di dalam perkampungan KESEDAR Paloh 3. Rumah kampung berciri tradisional, berlantai papan, menyejukkan badan di malam hari. Mak Yah, tuan rumah juga begitu peramah, membuatkan kami satu rombongan berasa sangat selesa di rumah beliau.

Bergambar kenangan, mak dan Mak Yah di jendela rumah beliau yang sangat best.

Pakcik Offer, Saya Accept.

Detik penantian semakin hampir. Jantung berdegup laju, adrenalin mengalir dalam salur darah, laju giat otak mengulang-ulang lafaz kalimah jawapan yang betul. Semua mata tertumpu kepada pengantin lelaki di tengah-tengah ruang tamu itu.

Abah mertua bersedia untuk melafazkan ungkapan tawaran.

Abah mertua membentangkan borang-borang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan. Selepas semua borang memuaskan hati, abah mertua terus melafazkan tawaran (tanpa berjabat tangan) :
Amirul Faiz B. Abd. Razak, aku nikahkan dikau dengan anak aku Nurul Asyikin Binti Mustafa dengan maskahwinnya sebanyak RM6000 tunai...
Kerana kaget, lafaz terima tawaran dari saya terpaksa diulang sekali lagi. (Dua kali lafaz.. Hehe..)gemuruh ni.
Saya terima nikahnya, dengan maskahwinnya seperti yang tersebut..
"Boleh?" soal abah mertua kepada saksi pertama. Saksi pertama mengangguk. "Boleh?" abah mertua minta pandangan dari saksi kedua pula. Saksi kedua mengisyaratkan boleh.

Alhamdulillah.....

Usai doa, pesan abah mertua "Syikin banyak yang tak tahu, kamu ajar lah dia yer.."

Dengan hati yang berdebar "InsyaAllah." jawab saya.

Permulaan Episod Baru

Perjalanan yang jauh lagi mencabar, bermula.

Selesai sudah majlis akad nikah di rumah bekas tunang saya (sekarang dah jadi isteri) hehe. Majlis kenduri di rumah saya di Melaka adalah pada 13 Mac 2010.

Di kesempatan ini, saya menjemput anda semua yang berkesempatan, untuk memeriahkan lagi majlis kenduri di Melaka nanti.

Doakan kami dikurniakan rahmat dari Allah, tenang dalam melayari kehidupan ini. Ameen. Doaku untuk kalian semua, moga Allah berkati segala usaha kebaikan kita. Ameen.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur