Friday, December 31, 2010

2011, Toleh Belakang, Pandang Depan


Selamat menyambut tahun baru buat semua pelawat menderas.blogspot.com. Terima kasih kepada anda semua kerana sudi bersama mengikuti blog sederhana saya ini selama lebih kurang setahun, sejak saya mula berblog pada Disember 2009. Di minit-minit terakhir Disember 2010 ini, ingin saya menyoroti beberapa pengalaman suka duka yang saya ada rakamkan di blog ini.

Toleh belakang.
Sewaktu saya mula berblog, saya masih lagi berkhidmat di Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) sebagai seorang Pegawai Sains. Tugas yang mencabar, lebih-lebih lagi dengan adanya Penasihat Melayu yang tidak mahu solat. Akhirnya, dapat juga saya tawaran dari UKM, berkhidmat sebagai Pegawai Sains juga, cuma di tempat yang baru, dengan cabaran yang baru.

Bermulalah cabaran hidup saya mengimbangi kerja dan pengajian MBA di UTeM secara menghadiri kelas petang. Kehidupan ulang-alik Bangi ke Melaka setiap minggu, sungguh meletihkan dan mengeringkan poket. Di kala saya mahu memulakan hidup berumahtangga. Alhamdulillah, mujur isteri setia menemani liku-liku cabaran itu dengan penuh sabar.

Pandang depan.
Gementar, bila saya akan bergelar abah suatu hari nanti. Jangkanya, bulan April, anak sulung saya bakal dilahirkan. Saya mesti bersedia untuk itu. Di dalam tahun baru 2011 ini juga, saya mesti menamatkan pengajian MBA, hanya tinggal mini projek sahaja.

Kerjaya di UKM, sememangnya memerlukan saya sentiasa belajar, sentiasa mengasah kemahiran diri. Moga Allah membantu saya melakukan yang terbaik, untuk diri ini menyumbang kepada mak abah, isteri, keluarga, anak-anak dan masyarakat sekeliling, termasuk anda, rakan tamu di menderas.blogspot.com.

Selamat Maju Jaya di tahun 2011.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Thursday, December 30, 2010

Seni itu indah

Lukisan anak-anak kreatif.

Gambar lukisan-lukisan di atas adalah hasil kerja tangan adik-adik kita yang kreatif. Bila dipamerkan, nampak warna-warna ceria dari hasil kerja mereka.Walaupun lukisan mereka tak secantik lukisan orang dewasa, namun jika dilihat dari sudut lain, ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari.

Logik dan seni

Selalunya, kita selalu memberi perhatian yang lebih kepada murid-murid yang pandai dalam mengira, genius dalam bidang matematik, kita selalu kurang memberi perhatian kepada murid-murid yang pandai dalam bidang seni kreatif. Hakikatnya, manusia ada kedua-duanya, logik dan seni kreatif.

Ruang dan peluang
Pertandingan melukis / mewarna seperti ni, memberi anak-anak kecil kita mengekspresikan diri mereka. Mereka diberi ruang menyatakan apa yang mereka imaginasikan. Juga peluang untuk mereka menunjukkan yang diri mereka berkeyakinan menyampaikan idea-idea kreatif mereka.

Namun, lama kelamaan, oleh kerana kita mudah dipengaruhi oleh kehendak masyarakat, kita selalu tertumpu kepada bidang-bidang logik, bidang-bidang sains dan teknologi. Tersisih bidang-bidang seni seperti sastera dan sejarah.

Video pendek, kualiti suara kurang mantap. Maaf ye.

Penghujungnya, kita perlu kedua-dua bidang, logik dan seni. Timbang-timbangkan, moga bangsa ini akan maju dengan sains dan teknologinya, dan seimbang dalam perkembangan emosi perasaannya.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

**Terima kasih buat skuad Harimau Malaya, kerana disiplin mereka dalam latihan dan permainan, kejayaan mereka menjadi asbab esok cuti. Yeah. :)

Saturday, December 18, 2010

Jalan-jalan Di Teluk Intan

Menara Condong Teluk Intan.

Saya dan isteri telah ke Teluk Intan, untuk menghantar adik ipar saya ke rumah Abang Sid. Ini adalah pertama kali saya dan isteri bersiar-siar di Bandar Teluk Intan. Ikon Bandar Teluk Intan, semestinya Menara Condong Teluk Intan.

Em, memang nampak senget menara ini. Bila saya masuk ke dalam menara itu, memang ada rasa senget, tapi tak pasti, arah mana condongnya bangunan menara ini. Kata Kak Yan, menara ini asalnya adalah untuk meyimpan bekalan air dalam tangki. Tangki air ditempatkan di atas menara ini. "Dulu-dulu Teluk Intan ini asyik banjir, tu yang diaorang buat tangki air atas menara ni." Jelas Kak Yan.

Di tingkat satu menara condong.

Turun dari tingkat tiga.

Sebelum menaiki menara condong itu, kami bersarapan pagi di Bandar Teluk Intan, isteri hendak makan mee kicap. Slurrpp, memang sedap, bila dimakan panas. :)

Mee kicap, ada rasa kari sikit, dihidang bersama sup.
Benarlah kata orang, 'jauh perjalanan, luas pemandangan'. Luas pemandangan, carilah tanda-tanda keagungan Sang Maha Pencipta, pada ramainya manusia yang diciptakannya, pada kepandaian yang dikurniaNya membolehkan manusia mencipta bangunan yang condong.

Amirul Faiz Abd. Razak
36000 Teluk Intan

Book Review - The Village By The Sea

The Village By The Sea.

Finally, I have finished reading the novel entitled 'The Village By The Sea' written by Anita Desai. For you who have been to matriculation before, I think that you have probably read this novel in the English class. I read the novel back in Johor Matriculation College for the sake of passing the class. There's a big difference in reading it for exam and reading it to really know what's the story is all about.
Synopsis

'The Village By The Sea' is about a poor family in a village called Thul in India. The poor family consists of the drunken father, an ill mother, Lila the eldest sister, Hari the eldest brother and Bela and Kamal the youngest sisters. The problem with the family is the father is a toddy addict. His toddy drinking habit makes him sell his fishing boat and buffalo, to pay his debt to the toddy seller. To make it worse, he has no job to bring food on the table. All he does in the day is sleeping and during the night, he will go out for toddy drink.

Hari, the eldest and single son in the family, feels that the burden to bring food for the family is on his shoulder. He has several options to ease the burden, to work in Biju who owns a big boat with diesel engine, to work in the factory that will be built in the village in near time, or to go to Bombay to find job in the big city.

He get the opportunity to go to Bombay when he follows a group of protestor in a procession to submit pettition to the Chief Minister, to stop the building of the factory in Hari's village. Hari manage to get a job in an eating house in the big city through several occasion. From there onwards, he manage to turn the fate of his family.

Okay, I think, that's enough for me to summarize a little bit about the book. Now I know, it is hard to summarize a book as I never done it before. Hope this will attract you to read the book.

This is my way of learning English, by using it, either through writing or speaking. If you find there's something wrong or funny about this entry in English, please let me know. I really appreciate your attention and the time you spend to correct me.

Thank you. :)

Amirul Faiz Abd. Razak
436500 Bandar Baru Bangi

Sunday, December 12, 2010

Kawan-kawan Kahwin, (Musim Kahwin Tiba Lagi).

Kami di majlis kenduri kahwin yang pertama.

Cuti sekolah yang panjang, memberi ruang yang selesa dan peluang untuk ahli keluarga yang bakal menerima menantu, mengadakan kenduri kahwin yang meriah lagi penuh syukur. Saya mohon maaf kepada rakan-rakan yang mengundang ke majlis perkahwinan mereka. Lantaran tidak dapat memenuhi undangan mereka disebabkan faktor jarak tempat dan masa. Apa pun, saya mendoakan, kalian berdua (suami isteri) hidup penuh harmoni hingga ke hujung hayat, biar sampai syurga. Ameen.

Semalam, hari Sabtu 11 Disember 2010, saya dan isteri serta adik ipar telah menghadiri dua majlis perkahwinan. Satu di Pusat Komuniti Bukit Damansara dan satu lagi di Petaling Jaya, SS19.

Kenduri kahwin di Bukit Damansara

Pasangan pengantin Wan Ahmad Hamdi & Eda Edlina.

Majlis kenduri kahwin yang pertama itu, dilangsungkan di sebuah dewan atau pusat komuniti yang cantik, kemas dan selesa. Dengan adanya kemudahan seperti tandas dan kawasan letak kereta yang berdekatan. Makanan yang disediakan pula enak dan lazat.

Kenduri kahwin ini bagi meraikan pasangan pengantin Wan Ahmad Hamdi (rakan belajar UKM 2003-2006) dan Eda Edlina. Tema warna majlis ialah ungu, alas meja ungu, kain-kain penghias warna ungu, pakaian pengantin juga ungu, termasuklah air minuman juga ungu. "Hehe, nasib baik dia tak buat nasi minyak warna ungu."

Sempat juga saya bertemu rakan-rakan belajar dahulu Hafizi Sabtu (pengapit pengantin lelaki), Chemong, Bedul & isteri, Ayie, Din dan Emon. Itulah keseronokan bila menghadiri majlis-majlis seperti ini, selain mendoakan kebahagiaan buat pasangan pengantin. Saya juga terserempak dengan jiran dari Melaka, En Zulkifli dan keluarganya.

Lagu-lagu yang melatari di sepanjang majlis kenduri kahwin ini ialah kesemua lagi dalam Album Thank You Allah oleh Maher Zain. Alahmdulillah, kata rakan saya Chemon "aku suka lagu-lagu ni, irama lagunya fresh". DJ yang bertugas memutarkan lagu juga menghentikan seketika lagu-lagu yang diputarkan, bagi menghormati azan zohor yang berkumandang.

Kenduri kahwin di Petaling Jaya

Suasana di majlis kenduri kahwin anak perempuan Prof. Madya Bukhori.
Majlis kenduri kahwin yang kedua pula diadakan oleh Prof. Madya Bukhori, Pensyarah di Fakulti Farmasi. Kenduri kahwin dilangsungkan meraikan anak perempuannya yang selamat dinikahkan. Wah! hebat sungguh majlis kenduri kahwin ini, tema warnanya biru muda. Tapi tiada pula air minuman warna biru. Yang pasti, makanan yang dihidangkan, sungguh sedap.

Ditambah pula dengan gerai yang menyediakan ABC. Tambah berselera saya menjamu selera. Ada lauk rebung masak lemak, isteri saya tak berapa suka makan rebung, berbau katanya.

Syukur atas nikmat makan yang diberi.

Di penghujung hari Sabtu yang lalu, saya sungguh kenyang, dijamu dengan nasi orang kahwin. Alhamdulillah, moga pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada hari Sabtu yang lalu dirahmati dan diberi ketenangan hingga akhir hayat. Ameen.

Hujung minggu hadapan, ada lagi jemputan kenduri kahwin. Alhamdulillah, dapat makan sedap-sedap. :)

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Saturday, December 11, 2010

Highland Towers Selepas 17 Tahun

Tragedi Highland Tower, gambar salin tampal dari http://tailim.blogspot.com/2008/12/blog-post.html

Rata-rata ramai yang masih ingat tentang tragedi Highland Towers. Saya terbaca di akhbar The Star semalam tentang sebuah dokumentari menceritakan semula kisah tragis Highland Towers itu. Baru saya perasan. Kejadian 17 tahun yang lepas itu, berlaku pada 11 Disember 1993, pada hari Sabtu. Kebetulan, hari ini 11 Disember 2010, juga hari Sabtu.

Bangunan Blok A setinggi 12 tingkat itu jatuh menyembah bumi pada 1.30 petang. Kejadian yang mengejutkan seluruh negara itu telah mengorbankan 48 nyawa. Antara yang terkorban ialah anak dan isteri kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, iaitu Carlos Rashid dan Rosina Datuk Abu Bakar.

Terkejut kan? Bangunan yang nampak tegap, tiba-tiba jatuh. Bangunan tersebut dibina sekitar 1975 dan 1979.

Rancangan dokumentari tentang Highland Towers itu disiarkan di Astro History, Channel 555. Malangnya, rumah saya tak pasang Astro, kalau ada Astro, boleh mengikuti cerita tragik itu. Bagaimana selepas kejadian itu, perkara-perkara buruk (pembinaan tidak mengikut pelan asal, tidak mengikut piawaian dan sebagainya) terbongkar.

Mari kita belajar dari kisah ini. Sungguh manusia ini amat perlu kepada ilmu-ilmu dunia untuk mentadbir dan memakmurkan dunia ini. Dan sungguh manusia amat perlu kepada ilmu-ilmu akhirat, agar tindakannya sentiasa harmoni dengan kehendak Penciptanya.

Fikir, bagaimana mencapai kemajuan,
Zikir, ingatkan diri, jangan lupa diri, Sang Maha Kuasa sentiasa memerhati, jujurlah dalam setiap gerak-geri. Bila Dia kata "kun - jadilah, fayakun - maka jadilah".

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Friday, December 10, 2010

Minggu ke 20 kehamilan

 

Senyum panjang lebar. Perjalanan penuh dugaan ke arah dunia ibu bapa sudah 20 minggu telah dilalui. Ada lebih kurang 16 minggu lagi untuk dilalui. Isteri alhamdulillah, sihat, cuma ada sedikit loya-loya, terutamanya selepas makan. Gembira, bila melihat isteri berselera makan. Mungkin anak dalam kandungan lapar juga agaknya. :)

Walaupun begitu, isteri saya masih mengambil ubat tahan muntah / mabuk. Nak mengelakkan muntah. Takut bila dah muntah, terus-terusan muntah, hingga sakit tekak akibat muntah, langsung tiada selera makan. Hati suami tersentuh, melihatkan pengorbanan isteri bersabar melalui dugaan yang cukup mencabar ini. Hati seorang anak lelaki tersentuh, mengenangkan ibunya pasti susah payah dalam mengandung dan melahirkannya. Maha Bijaksana Allah, mengatur kehidupan manusia lelaki dan perempuan.

"Minggu ke-20 ni, anak dah boleh dengar tau bang?" kata isteri.
"Ye ke? Mana tau?"
"Ni, baca dalam majalah Pa&Ma"
"Jadi anak yang baik ye nak" kata saya dekat-dekat kepada perut isteri.

Saya masih belum fikirkan nama untuk anak. Belum dapat imbas jantinanya. Wow! Besar tanggungjawab, bila ada insan bernama ................... B. / Bte. Amirul Faiz. InsyaAllah, saya bersedia. Isteri juga begitu, bersedia.

Dalam majalah Pa&Ma;
Telinga bayi mula terbentuk pada usia sekitar minggu ke-8. Pada minggu ke-18, dia mula mendengar bunyi-bunyian di dalam tubuh ibu. Di minggu ke-20 pula, dia berpeluang mendengar suara ibu. Jadi ibu-ibu, berbuallah dengannya dengan sekerap mungkin.



Doakan kami tabah menghadapi cabaran alam bakal ibu bapa ini.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Wednesday, December 8, 2010

Reviu Buku : Doa Insan Berkasih

 Novel Doa Insan Berkasih.

Salam Hijrah buat semua rakan-rakan siber sekalian. Bagaimana dengan 2 hari yang telah berlalu dalam tahun 1432 Hijrah yang baru ni? Masih bersemangatkah untuk melaksanakan azam yang telah dilafazkan? Harapnya, kita kekalkan momentum semangat ini paling tidak pun hingga hujung Muharram ini. Kali ini, saya nak cerita sikit tentang novel yang telah saya baca. Hasil nukilan Aminah Mokhtar. Novel bertajuk Doa Insan Berkasih.

Novel ini adalah pilihan isteri saya pada mulanya. Alhamdulillah, isteri saya semakin sihat, dengan kandungan yang membesar, sedikit demi sedikit, hari demi hari. Sudah 5 bulan isteri saya hamil. Sekarang ini, isteri saya tidak lagi muntah-muntah, cuma masih ada rasa loya sikit selepas makan. Mudah-mudahan dipermudahkan urusan kami, bakal ibu ayah. :)

Ok, berbalik kepada novel Doa Insan Berkasih ini. Saya beli dan mula membacanya sejak dari Hari Raya Haji yang ke-3 hinggalah semalam, baru saya tamat membacanya. Novel tersebut mengisahkan perjalanan suka duka pasangan berkasih, yang berjauhan, Siti Musalmah dan Hamzah.

Siti Musalmah merupakan anak yatim piatu, baik budi pekerti, sopan santun, baik juga agamanya. Hamzah pula ingin beristerikan Siti Musalmah, namun tidak dipersetujui oleh Mak Intan (mak kepada Hamzah) kerana tidak sedarjat katanya. Oleh kerana berjauhan, Siti Musalmah dan Hamzah saling mendoakan kekasih masing-masing supaya sentiasa dirahmati Allah.

Menarik sungguh apabila saya menelusuri perjalanan hidup susah Siti Musalmah, menjadi yatim piatu, dipaksa bekerja sebagai orang gaji, bermodalkan duit simpanan, dia cuba mengubah nasib orang-orang Kampung Nelayan. Sehinggalah dia berjaya menubuhkan syarikat Kampung Nelayan Sdn. Bhd. Memberi inspirasi dan semangat yang kuat kepada saya.

Dari kacamata saya yang negatif.

Novel ini terdapat beberapa kelemahan dari pandangan saya. Yang paling ketara, kesalahan ejaan yang kerap berlaku dalam novel ini. Hingga membuat saya terfikir, "tiada orangkah yang membaca manuskrip novel ini sebelum diterbitkan?"

Kelemahan yang kedua. Mungkin kerana saya menjangkakan, perjalanan cerita akan lebih ringkas dan terpandu. Saya kadang-kadang tidak dapat menangkap situasi perjalanan masa dalam novel ini. Sekejap, Siti Musalmah sedang melakukan kerja. Sekejap imbasan kembali kenangan Siti Musalmah yang lalu. Sekejap bayangan dalam fikiran Siti Musalmah. Saya jadi lemas, tidak dapat menggambarkan masa yang sebenar yang sedang dilalui oleh Siti Musalmah.

Namun, saya kira, novel ini sesuai dibaca oleh anda semua. Lebih-lebih lagi yang berjauhan dari yang tersayang (suami, isteri, ibu, ayah dan buah hati).

Selamat membaca.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi.