Sunday, April 10, 2011

Naufal Bin Amirul Faiz

Pertama kali Naufal dalam dukungan abahnya.

Nama Naufal pertama kali saya terserempak, ialah dari sebuah novel Salju Sakinah, karangan Zaid Akhtar. Watak Naufal dalam novel tersebut ialah seorang pelajar yang baik di Universiti Yarmouk, Jordan. Watak utama dalam novel tersebut ialah Sumayyah, dan Naufal bolehlah saya katakan watak yang kecil, kerana cerita tentang Naufal tidak banyak, hanya berlegar sekitar kisah Naufal menegur Sumayyah di permulaan novel. Juga sedikit kisah bagaimana Naufal melamar Sumayyah di hujung novel. Novel Salju Sakinah itu saya hadiahkan kepada isteri, sewaktu kami bercinta dahulu (sekarang masih bercinta, bahkan lebih berseri dengan kehadiran cahaya mata). Sejak dari itu, kami seperti dah ada ilham, kalau anak lelaki, Naufal. Kalau anak perempuan Sumayyah.

Ada kena mengena dengan Nabi Muhammad S.A.W. ke?
Saya mencari di Google, kisah Naufal. Saya bertemu dengan, Waraqah Bin Naufal. "Siapa Waraqah Bin Naufal ni? Macam pernah dengar, tapi tak berapa jelas dalam ingatan."Rupa-rupanya, nama Waraqah Bin Naufal muncul dalam peristiwa Nabi Muhammad S.A.W. mendapat wahyu pertama di Gua Hira'". Nabi menceritakan keresahannya kepada isterinya Khadijah, sekembalinya dari Gua Hira'. Khadijah pula bertanyakan tentang hal tersebut kepada sepupunya, itulah Waraqah Bin Naufal.

Apa makna 'Naufal'?
Dalam buku kecil 'Himpunan nama-nama si comel' karangan Ummu Ainul Muhammad, terbitan Al-Hidayah Publication, nama Naufal membawa maksud dermawan. Moga-moga anak abah ini akan menjadi seorang yang dermawan, bukan terhad kepada wang ringgit, bahkan tenaga, fikiran, idea, masa dan sebagainya diinfakkan kepada kesejahteraan ummah.


Tak nak letak Muhammad / Mohd./ Ahmad ke kat depan?
Pandangan saya, jarang orang akan panggil dengan panggilan penuh Muhammad / Ahmad. Orang akan singkatkan, menjadi 'Mat'. Dan saya fikir, cukuplah dengan nama Naufal. Pada hemat saya juga, besar harapan yang disandarkan, jika membawa nama yang terpuji Muhammad ini. Bayangkan jika seorang yang bernama Muhammad, melakukan sesuatu perbuatan yang buruk. Contohnya, "Siapa yang merempit tengah-tengah malam ni..?" dengus Pak Ali. "Alaaa, si budak Muhammad dan geng Mat Rempit dier ler, sape lagi.." Jawab Pak Abu. Seperti yang pernah ditulis oleh Ustaz Hasrizal, tentang bagaimana orang Turki, begitu prihatin soal nama Muhammad ni, hinggakan, mereka mengubah ejaan Muhammad, kepada Mehmet. Boleh rujuk di sini.

Ada apa pada nama?
Nama yang baik, insyaAllah, akan memberi kesan yang baik kepada seseorang.

"Berilah nama (anak kamu) dengan nama-nama nabi dan nama-nama yang paling (baik) disenangi Allah S.W.T. Iaitu Abdullah dan Abdur Rahman (hamba Allah dan hamba Yang Maha Pengasih, yang paling benar ialah Haris dan Hamman (yang rajin bekerja) dan yang tinggi cita-cita dan yang paling buruk ialah Herb dan Nurrah (perang dan pahit)." Riwayat Abu Daud dan Nasa'i.

Jadi, oleh itu, "Hai anakku, dengan penuh kasih dan sayang, abah dan ummi namakan kamu Naufal (dermawan)". Moga nanti, Naufal akan kenal bahawa, erti hidup adalah pada memberi.

Amirul Faiz Bin Abd. Razak
Hospital Tanah Merah, Kelantan

Friday, April 8, 2011

Selamat Lahir Anakku, Abah Umi Menunggu.


Pagi Rabu 6 April 2011, isteri yang berada di Paloh 3, Gua Musang, Kelantan, memberitahu melalui telefon, sudah ada tanda-tanda hendak bersalin. Saya bersiap-sedia dengan memasukkan beg baju ke dalam kereta. Pagi Rabu ini, ada taklimat dari Naib Canselor UKM, bagi kakitangan yang baru dilantik, majlis berakhir jam 11.30. Pukul 10 pagi, isteri menghantar SMS, Klinik Kesihatan Chiku akan menghantarnya ke Hospital Kuala Krai kerana sudah ada tanda sedikit bayi di dalam kandungan sudah berak. Sekiranya laluan untuk bayi keluar, tak cukup besar, maka pembedahan harus dijalankan, dan Hospital Kuala Krai merupakan hospital yang terdekat dari Paloh, yang berupaya menjalankan pembedahan. Hospital Gua Musang tidak boleh menjalankan pembedahan (mungkin tiada peralatan kot.)

Isteri dikejarkan ke Hospital Kuala Krai, dari Klinik Kesihatan Chiku, dengan ambulans. Isteri tiba di Hospital Kuala Krai sekitar jam 12 tengahari. Saya pula bertolak dari Kuala Lumpur, sekitar jam 2 petang, setelah mendapatkan surat jaminan (guarantee letter) dari Pejabat Fakulti Farmasi. Dah terbayang waktu itu, saya akan tiba dan anak pun sudah selamat lahir. Jadi saya mengamalkan pemanduan berhemah. :D

Tiada sakit lagi.
Saya tiba di Hospital Kuala Krai, jam 9 malam. Tak dapat melawat isteri, kerana waktu melawat telah tamat, tapi boleh berjumpa di tingkap bilik wad. Sakit dah hilang, kata isteri. "Doktor tengok dulu malam ni macam mana, kalau esok takde tanda, jalan terbuka luas, doktor akan masukkan ubat."

Masukkan ubat (induce).
Rakan-rakan yang berpengalaman bersalin kata, kalau induce ni, sakitnya lebih lagi. Kesian isteri saya. Doa kepada yang Maha Pengasih jua saya panjatkan, moga Dia mengasihani isteri dan meringankan sedikit beban sakit bersalin. Jam 11 pagi, Khamis, 7 April 2011, dek kerana jalan keluar tidak terbuka luas untuk bersalin secara normal, doktor memasukkan ubat (induce), dengan harapan, jalan keluar akan terbuka luas, dan boleh bersalin secara normal, bayi di dalam kandungan sudah berak, dikhuatiri anak akan terkena jangkitan kuman nanti. Jam 12 tengahari, jalan keluar masih kecil, baru 2 cm. Isteri hantar SMS, "Sakitnya bang." Hanya doa dan selawat yang tak putus-putus mendoakan isteri, jua yang termampu dilakukan si suami.

Ya Allah! Sakitnya.
Pukul 1 tengahari, jururawat memanggil saya masuk menemankan isteri yang sedang diimbas (scan) dengan alat CTG, yang dipasangkan di perutnya. Wajah isteri yang begitu berkerut-kerut, berpeluh-peluh, tangannya ligat mengusap-usap, memicit-micit pangkal peha. "Bang, sakitnya bang, Ya Allah, sakitnya." Saya tergamam, tak tahu apa yang patut diucapkan. Bibir kumat-kamit berselawat kepada Nabi, sambil tangan saya memicit-micit peha dan bahagian belakang isteri. Dari jam 1.15 tengahari, hinggalah 2.30 petang, isteri saya menanggung kesakitan, yang saya lihat, begitu dahsyat. Ini semua Sunnatullah (ketetapan Allah), ibu yang melahirkan akan pasti menanggung kelemahan, demi kelemahan.

Bilik Bedah Penuh.
"Awak suaminya Nurul Asyikin ka? Kita terpaksa hantar isteri awak ke Hospital Tanah Merah, sebab pembedahan mesti dibuat. Anak awak dah berak dalam kandungan, dan jalan keluar tak buka luas lagi, jadi kita terpaksa buat pembedahan." Kata doktor dengan pantas sekali. Saya dengan muka ternganga, kelam kabut, hanya mengangguk "emm". "Kita tak jangka masalah ni timbul, kita ingat nak bedah di sini, tapi sebab bilik bedah penuh, dengan bermacam-macam kes arini, dengan accidentnya, dengan bedah bersalinnya, jadi jalan yang selamat, kita hantar ke Hospital Tanah Merah. Kita nak antar Hospital Kota Bharu, tapi tadi kita baru antar sorang patient ke KB, jadi ni kita antar ke Tanah Merah." Dengan penuh cuak, saya menyusul di belakang ambulans ke Hospital Tanah Merah.

Minta pampers.
Saya tiba lewat 15 minit lewat dari ambulans (tak berani bawa laju-laju). Umi dan ayah saudara sudah menunggu di dewan bersalin. Saya menanti-nanti, jika ada peluang dipanggil untuk menemankan isteri di dewan bersalin. Lama menunggu, akhirnya seorang jururawat keluar "waris Nurul Asyikin Mustaffa ada? Aaa, nak minta pampers," katanya. "Eh, baby dah keluar ke? Tak panggil saya pun?" soal saya. Rupa-rupanya, setibanya isteri dengan ambulans di Hospital Tanah Merah, jalan keluar bayi sudah terbuka luas, Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan anak sulung kami secara normal. Bayi lelaki, seberat 2.65kg, lahir pada pukul 4.22 petang, 7 April 2011, 3 Jamadil Awal 1432 H.



Terima kasih kepada anda semua.
Kerana anda semua mendoakan, memberi nasihat, panduan, serta memberi ucapan-ucapan yang baik kepada kami dan anak. Kami berterima kasih kepada anda semua.

Amirul Faiz Abd. Razak (kini seorang abah). :)
Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Jalan-jalan cari sampel - Siri 2 (Kampung Batu Balai).

Ekspedisi memungut sampel di Jerantut.

Selepas selesai kami membeli sedikit buah tangan dari kedai keropok lekor di Paka, Terengganu. Kami bertolak ke Jerantut, Pahang. Rumah mak ayah kepada pemandu, En. Roslan. Perjalanan mengambil masa kira-kira 4 jam dari Paka ke Kampung Batu Balai, Jerantut. Kampung ini dah hampir dengan Benta. Kami tiba ke destinasi sekitar pukul 6 petang.

Aktiviti masuk hutan, untuk memungut sampel, akan kami mulakan pada pagi esok harinya. Di waktu petang itu, aktiviti kami hanyalah melihat sekitar kawasan ladang kelapa sawit, ayahnya En. Roslan, dan juga mengutip sedikit ulam-ulaman seperti ulam raja untuk dimakan pada malam nanti.

Pagi Ahad, 27 Mac 2011, selepas bersarapan, kami terus masuk ke dalam ladang dan hutan bagi memungut sampel-sampel yang berpotensi untuk dikaji lebih lanjut. Seperti biasa, bila masuk hutan, binatang kecil yang ditakuti, semestinya pacat! Hehe. Berikut gambar-gambar semasa aktiviti kami di Kampung Batu Balai, Jerantut.

Buah Kelubi yang belum cukup masak.

Naim guna parang cungkil akar pokok Tongkat Ali.

En. Husin, pengamal minuman air rebusan herba, menunjukkan pokok kelubi.

Mengenal ciri-ciri pokok Tongkat Ali.
En. Husin, ayah kepada pemandu, En. Roslan, telah menunjukkan saya, satu cara untuk mengenal pokok Tongkat Ali. Daun Tongkat Ali tidak akan lunyai, walau dilipat sekecil mana dan diramas sebanyak mana pun. Jangan disiat, kalau siat, memang daun itu akan koyak, tapi lipat kecil-kecil, atau ramas-ramaskan. Bentuk asal daun Tongkat Ali tidak berubah, cuma terdapat kesan-kesan lipatan. Nak senang faham, hayati video amatur di bawah.


Kami mendapat sungguh banyak pengalaman yang begitu seronok sekali, semasa berada di sana.

Menjelang zohor, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Moga akan ada lagi peluang sebegini pada masa akan datang. Ya, seronok beraktiviti di kawasan hutan semulajadi, rasa dekat dengan alam, rasa Maha Berkuasanya Allah, dari tanah yang sama, pelbagai pohon yang Dia tumbuhkan, dengan pelbagai khasiat.

Amirul Faiz Abd. Razak
Hospital Tanah Merah, Kelantan

Sunday, April 3, 2011

Jalan-jalan cari sampel - Siri 1 (Bukit Bauk).


Perancangan awalnya, kami hendak ke Bukit Bauk, Terengganu, untuk mengumpul sampel bersama-sama dengan Wak Sani. Tapi malangnya, Wak Sani memutuskan untuk pulang awal, Jumaat 25 Mac 2011. Tatkala itu, kami sudah sampai Temerloh. Agak mendukacitakan, tapi oleh kerana kenderaan universiti telah ditempah hingga ke hari Ahad, 27 Mac 2011, maka aktiviti mengumpul sampel kali ini, lebih bercorak jalan-jalan. :)

Wak Sani balik Bangi, kami terus ke Paka.
Kami berjumpa dengan Wak Sani di Kemaman. Dia dan kumpulannya sedang dalam perjalanan balik ke UKM, Kampus Bangi. Dia menyerahkan 2 guni sampel spesis pokok kayu manis dan kemudian meneruskan perjalanannya. Kami pula meneruskan perjalanan ke Paka, di mana kami akan bermalam dan keesokan harinya, kami akan ke Bukit Bauk.

Kami menginap di sebuah homestay yang selesa dan berpatutan harganya. Ia terletak berdekatan dengan Masjid Taman Hadhari. Kadar sewa homestay tersebut, RM100 untuk semalam. Esok pagi Sabtu, 26 Mac 2011, kami akan masuk ke hutan Bukit Bauk, untuk memungut sedikit sebanyak sampel tumbuhan, tanpa panduan dan bimbingan dari Wak Sani.

Mesti ada kebenaran.
Oleh kerana Wak Sani sudah pulang ke Bangi, maka kami tiada jurupandu untuk memungut sampel tumbuhan di hutan Bukit Bauk. Seorang kakitangan yang menjaga pintu masuk ke hutan tersebut, memaklumkan kami mesti ada kebenaran dari Pejabat Hutan Negeri untuk memungut sampel. "Tak boleh amek sampel ler nampaknye."

Jadi kami pun sekadar berekreasi melalui tapak jalan yang telah disediakan sejauh 500 meter. Apa yang menarik dalam hutan ini? Selain boleh mengenal pokok-pokok, di dalam hutan ini ada pacat. Ye, kalau tak sedar, tahu-tahu pacat dah banyak hisap darah. Hehe.








Kami pusing-pusing sekitar kawasan Bukit Bauk ini, termasuk laluan trek joggingnya.

Aktiviti kami seterusnya, menuju ke Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang.

Sebelum ke sana, singgah dulu kedai keropok lekor, beli sedikit buah tangan.


Entri berikutnya, akan menceritakan aktiviti kami di Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang.