Tuesday, June 29, 2010

Ubat gigi, cecair @ pepejal?

Lukisan ringkas sangat, cuba menggambarkan prinsip dalam rheologi.

Saya masih lagi mencuba untuk memahami dengan sepenuhnya, apa itu rheologi. Kalau ada orang tanya saya "Mesin rheometer ni untuk apa?", errr.. payah juga saya nak jawab kalau nak jawapan yang tepat. Cuma, buat masa ini, apa yang saya boleh ceritakan, rheometer ni sebuah mesin untuk mengukur perubahan bentuk (deform) sesuatu bahan, contoh bahan seperti minyak, gel, krim dan sebagainya.

Saya pernah tulis tentang bendalir ke cecair, sama atau lain. Jadi entri kali ni saya tambah sikit sahaja, beberapa kata kunci yang kita akan selalu dengar, melibatkan mesin rheometer ini.

Gambarajah di atas menunjukkan secara ringkas, prinsip rheologi ni. Bila tekanan dikenakan, bahan itu tadi akan meluncur sedikit, dan kita mahu mengukur bila X tekanan yang dikenakan, berapa kadar peluncuran bahan itu tadi.

Untuk makluman, dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah shear rate, saya terjemahkan jadi kadar peluncuran. Harap boleh mudah faham.

Berkaitan dengan ubat gigi, kita mahu ukur kadar peluncuran ubat gigi pada tekanan tertentu. Boleh bayangkan tak? : ) Contoh, pada tekanan sekuat X, kadar peluncuran ubat gigi selaju y.

Sekian dulu untuk waktu yang terhad ini. Sikit-sikit belajar, saya pun tak berapa faham lagi.

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Monday, June 28, 2010

Tikus makmal, kesian.

Gambar hiasan; ujikaji dalam makmal

Kita ada menjangka suatu bahan X ini boleh digunakan untuk kesihatan dan kesejahteraan manusia. Di peringkat makmal, kita pasti akan menguji dari segi keberkesanan / ketoksikan sesuatu produk itu sebelum dipasarkan. Rata-rata, jika ditanya kepada orang ramai, "macam mana nak uji bahan X ini bahaya atau memberi manfaat kepada manusia?", mungkin ramai yang akan menjawab, "kita buat ujian makmal, test kat haiwan dulu". Pernah tengok tak ujian makmal ke atas haiwan ini dilakukan?

Kalau pernah, kita mungkin akan rasa ngeri, rasa kasihan, melihatkan binatang-binatang ini dilakukan seperti itu. Saya pernah terlibat dengan ujian haiwan di makmal ni, memang ada rasa kasihan yang amat sangat. Apa yang boleh kita buat?

Akhbar The Star hari ini dan semalam ada menyiarkan artikel berkenaan dengan ujian haiwan makmal ini. Rasa bersalah pula kerana pernah terlibat dalam menjalankan ujian haiwan makmal ini.

Ada 2 agensi yang aktif dalam membantah ujian haiwan makmal, BUAV - British Union for the Abolition of Vivisection. Satu lagi PETA - People for the Ethical Treatment of Animals.

"Abolition of Vivisection tu ape?" - Dengan Google Translate, maknanya : Penghapusan pembedahan makhluk hidup.

Ada setengah pihak yang menyokong penggunaan haiwan dalam ujian makmal. Tapi saya kira, jika kita mahu menghalang penggunaan haiwan dalam ujikaji makmal, kita mesti datangkan alternatif lain untuk menjalankan ujian makmal keatas bahan-bahan yang akan digunakan pada akhirnya, untuk manusia.

Kaedah alternatif pasti ada, cuma kita kena cari dan belajar.

Kesian bila kita tengok ada kucing yang terseksa dalam ujikaji makmal itu. Eeee.. Astaghfirullah.

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

Saturday, June 19, 2010

Mohon maaf, blog ini terperap hingga berhabuk

Bergambar di satu Majlis Kenduri Kahwin. Musim kenduri kahwin waktu cuti sekolah panjang ni.

Assalamualaikum, selamat sejahtera kepada anda semua yang masih lagi bertandang ke blog yang dah bersawang ini. Saya mohon maaf atas kelemahan saya yang teruk ini. Terima kasih kerana anda masih lagi menjengah blog ini, walaupun dah berhabuk sejak entri saya yang terakhir beberapa minggu yang lalu.

Kesibukan di tempat kerja, mengejar tarikh akhir menyiapkan tugasan Program MBA @ UTeM, dan ditambah dengan motivasi saya yang merudum, blog ini semakin tiada entri baru untuk dikongsi dengan anda.

Entri ini hanyalah untuk memohon maaf dari kalian semua, dan mengakui kelemahan diri sendiri. Sekarang, saya akan cuba untuk bangkit, sentiasa memastikan blog ini tidak berhabuk, paling tidak pun, dengan entri-entri ringkas. Moga kita semua akan mendapat sedikit sebanyak manfaat dari perkongsian sinergistik ini.

Berjiwa Petani, hasil yang dituai hari ini adalah dari benih yang disemai lama dahulu.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi.