Thursday, May 19, 2011

Selamat Kembali Ke Rahmatullah, Pak Besar.


Tengahari Rabu, 18 Mei 2011, mak menelefon, menyampaikan berita tergempar. Abah yang berada di Singapura, menghantar SMS "Pak Besar telah meninggal dunia, baru kejap tadi." Innalillahi wa 'inna ilaihi raji'un. Sesungguhnya kita milikNya dan kepadaNya jua kita kembali. Pak Besar menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar pukul 2.00 petang di hospital di Singapura.

Saya, mak, dan adik bongsu Zul, bertolak ke Singapura pukul 9.30 malam dari Melaka. Perjalanan mengambil masa kira-kira 3 jam ke Singapura, kami tiba di rumah arwah pukul 2.00 pagi. Suasana hiba menyelubungi diri. Baru sebulan yang sudah, kami sekeluarga menziarahi Pak Besar yang sakit tenat. Pak Besar kehilangan berat badan yang sangat drastik. Sangat kurus. Makan juga tidak berselera. Teringat kata Pak Besar "Nanti bila Pak Besar dah sihat, Pak Besar nak buat kenduri sikit, pindah rumah baru, dalam bulan lapan nanti."

Ajal itu urusan Allah

Firman Allah dalam surah Al 'Araf, ayat 34 :

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan (lambatkan) walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka dahulukan (percepatkan).

Pak Besar mula sakit tenat hingga dimasukkan ke hospital sejak Isnin yang lalu. Petang Rabu itu, roh Pak Besar dijemput kembali bertemu Allah, Yang Esa. Sungguh ini adalah suatu peringatan bagi kita semua. Masa kita kembali kepada Pencipta kita, pasti akan tiba.

Semoga Allah merahmati roh Pak Besar dan mengampunkan dosa-dosanya serta menempatkan rohnya di kalangan roh-roh orang muslim. Ameen.

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka

Thursday, May 5, 2011

Semakin Besarnya Anakku

Tengok pipi dia tu, dah mula nak tembam. :)

Hampir sebulan sudah masa berlalu. Naufal sudah berisi sedikit. Kata seorang guru saya, "kalau anda nak tengok masa tua anda, lihatlah pada ayah anda. Kalau anda nak tengok masa kecil anda, lihatlah pada anak anda." Kata mak, saya masa kecil dulu kuat menangis, asyik-asyik menangis. Mungkin sifat kuat menangis itu turun kepada anak. Apa-apa pun, syukur kepada Allah, mengurniakan saya dan isteri, anak yang sihat. Alhamdulillah.

Saya nak kongsi dengan anda, gambar-gambar Naufal, yang sempat saya rakam sewaktu saya berada di Paloh 3, Gua Musang, tempoh hari.



Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan anak saya. Ameen atas doa kalian.

Amirul Faiz Abd. Razak