Saturday, January 30, 2010

Peringatan! Ini satu kepastian.

Bila rumah kata pergi, kita yang masih hidup tunaikan fardu kifayah.

Semalam, saya sempat menziarahi rumah jiran saya Hafiz (ada orang kampung panggil dia al-hafiz). Ini adalah satu fardu kifayah. Ziarah dan mendoakan, mudah-mudahan Allah ampunkan dosanya, dan merahmatinya. Al-fatihah buat Allahyarham pakcik Abdul Razak Maidin.

Syukur, agama kita memberi panduan yang cantik dan tersusun dalam hidup bermasyarakat. Jenazah siap dimandikan dan dikafankan, kemudian disolatkan sebelum dikebumikan di perkuburan tanah wakaf pekan Tanjung Kling.

Kubur masing-masing.
Selalu kita dengar, apabila membicarakan soal kematian, dalam memberi peringatan kepada manusia (termasuklah saya), "kubur masing-masing, ko tak payah nak sibuk-sibuk hal aku." Astaghfirullah. Jika betul 'kubur masing-masing', siapa pula yang nak mandikan, nak kafankan, nak bawa ke kubur dan nak kebumikan?

Jika betullah 'kubur masing-masing', maka biarkan saja mayat itu sendirian, pandai-pandailah mayat itu mandi, kafan dan ke kuburnya sendirian.

Yang ingin saya pesan untuk diri sendiri dan pembaca sekalian, hidup di dunia ini, kita tidak terlepas dari saling bergantungan antara satu sama lain. Sebelum kita bertindak sesuka hati, fikir-fikirkanlah soal yang pasti ini, soal kematian.

Sungguh, apabila melihat orang meninggal dunia, saya merasakan betapa banyaknya dosa yang belum saya mohon ampun dan bertaubat. Sungguh banyak peringatan yang Allah berikan, tapi saya masih lalai. Aduh, rugi sungguh saya ini.

"Entah dapat ke tidak"
Berita kematian yang memeranjatkan, mak bercerita, "baru ari tu dia kata ntah saya dapat tolong, ntah tidak rumah ustad kenduri kawen nanti". "Dah meninggal arini". Allahyarham seolah-olah sudah merasakan masanya hampir tiba. Mari kita mendoakan semoga Allah mengampunkan dosanya dan merahmatinya. Ameen.

Abah wakil kepada keluarga si mati, berterima kasih kepada yang hadir.

Berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Ingatkan saya yang sering lalai ini.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka

Friday, January 29, 2010

Kamu dibenarkan bernikah.

Lulus sudah permohonan kebenaran berkahwin.

Alhamdulillah. Boleh dikatakan urusan prosedur mendapatkan kebenaran bernikah telah sempurna. Sekarang, saya mesti poskan surat kebenaran berkahwin ini kepada tunang saya di Gua Musang, untuk urusan pendaftaran nikah di daerah sana pula.

Memang banyak prosedur untuk urusan pendaftaran nikah kahwin cerai rujuk ini. Saya pun, pada mulanya rasa agak rimas dengan prosedur yang berbagai-bagai ini. Namun, setelah mengikuti kursus pra-perkahwinan yang lepas, barulah saya faham sedikit, hikmah / rasional peraturan dan prosedur ini diwujudkan.

Banyak berlaku kes-kes di mana pemuda / pemudi mengaku bujang untuk bernikah.
"Saya belum berkahwin, Ustad" kata seorang pemuda yang berasal dari negeri lain / daerah lain yang menetap di qariah kampung saya. Abah ketika itu, hanya bersandarkan kepada pengakuan beberapa saksi yang menyokong permohonan si pemuda itu.

Akhirnya, penipuan si pemuda terbongkar. Nasib baik ada orang kampung yang benar-benar mengenali latar belakang si pemuda. Rupanya dia telah berkahwin, dan isterinya tidak duduk bersama kerana si suami bekerja di luar kawasan. Terkedu abah masa tu, sebab abah dah sokong permohonan pemuda yang mengaku bujang lagi.

Kes ini berlaku lama dah, sekitar 90-an. Waktu itu, seingat saya, proses pendaftaran pernikahan, penceraian, rujuk dan sebagainya baru bermula.

Lepas halangan pertama, ada lagi banyak halangan di depan, kan?

Syukur, surat kebenaran bernikah saya telah dikeluarkan.

Gemuruh, tinggal beberapa hari saja lagi status saya bertukar dari bujang kepada berkahwin.

Gusar, memikirkan betapa besarnya tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Mohon doa dan tunjuk ajar dari rakan pembaca sekalian. Mudah-mudahan permulaan kehidupan berkeluarga saya berjalan dengan tenang. Ameen.

What We Do In Life Echoes In Eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.

Thursday, January 28, 2010

Mari naik haji


Perjalanan menuju tanah suci bermula dengan menabung dari muda lagi.

Di ketika hampir menuju 30 hari pertama dalam tahun 2010, saya diingatkan abah "kau ada buat potongan gaji tak masuk tabung haji? alaa, toksah banyak, 50 ringgit sebulan dah ok dah". Baru saya tergerak nak tengok semula buku simpanan tabung haji yang lama terperap antara timbunan buku-buku. Transaksi terakhir tahun 2007. Aduh, macam mana boleh terlepas pandang ni?

Naik haji cara susah.
Secara prinsipnya, bagi kita yang berpendapatan sederhana, untuk pergi menunaikan haji, kita mesti patuh kepada prinsip lumrah alam (Sunnatullah) iaitu sedikit demi sedikit, tiada jalan pintas. Keratan akhbar dibawah menunjukkan betapa kos untuk pergi menunaikan haji akan meningkat dari masa ke masa.



Kos menunaikan haji hampir mencecah RM11,000.

Sasaran saya ialah, saya hendak menunaikan haji sebelum umur 40 tahun. Ya Allah, permudahkanlah.

Apa pendapat anda? Ok tak pergi haji pada umur atau sebelum 40 tahun?

Naik haji cara senang.
Selepas dari berurusan di pejabat Tabung Haji di Bandar Melaka (terletak di belakang bangunan Ocean Melaka), saya ternampak sekelompok manusia berkumpul, fokus kepada papan kotak-kotak dengan buah-buah dam berwarna hijau kuning bersusun secara strategik atas papan dam.


Berlatarbelakangkan Sungai Melaka. Pemikir-pemikir terulung berhimpun menganalisa setiap gerakan. :)

Permainan dam haji. Kenapa diberi nama dam haji, saya pun tak tahu.

Haaa.. Inilah cara naik haji yang senang. Buah hijau makan buah kuning, buah kuning makan buah hijau, lompat sana sini sampai ke hujung tempat pihak lawan, naik haji. Bila dah naik haji, buah dam itu boleh bergerak sesuka hati, makan ke belakang, ke depan, ke sisi, semua boleh sapu.

Haha, cara naik haji yang paling senang. Mainlah dam haji. Hehe, bukan itu maksud saya. Maksud saya, untuk pergi haji, usaha ke arahnya bermula dari sekarang dan akan memakan masa yang lama untuk kita menyiapkan dana untuk ke Tanah Suci dan dana untuk ahli keluarga tanggungan kita yang kita tinggalkan buat sementara waktu.

Saya baru pasang azam untuk pergi haji. Anda sudah pergi haji?

What We Do In Life Echoes In Eternity.

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.

Wednesday, January 27, 2010

Cenderahati untuk yang pergi


Timb. Pengarah (Pentadbiran) Pn. Farida Mohamed menyampaikan cenderahati.

Walaupun hari terakhir saya di Institut ini masih berbaki lagi 2 minggu, tetapi majlis meraikan pekerja yang bakal meninggalkan Institut diadakan lebih awal (semalam) bertujuan meraikan juga kakitangan yang berhenti dalam minggu ini.

Salah seorang kakitangan yang akan menamatkan perkhidmatan di Institut ini ialah Kak Nazrin. Beliau telah mendapat tawaran kerja yang lebih baik. Mudah-mudahan beliau akan terus berjaya dalam kerjanyanya. Ameen.


(Gambar arkib) Duduk dari kiri; Sharmila, Munirah, Azurin. Berdiri dari kiri: Nurhuda, Nazrin.

Seorang lagi rakan sekerja yang akan tamat perkhidmatan di Institut dalam minggu ini, Cik Mawar. Beliau akan mengorak langkah menjadi usahawan wanita berjaya. Moga Allah kabulkan usahanya, Ameen.


Minggu-minggu terakhir sebagai rakan sekerja. Dari kiri; Amat Fairus, Mawar, dan Artika.

Bagi saya pula, tarikh akhir saya berkhidmat di sini ialah pada 12 Feb 2010, (Jumaat).

Satu Majlis ringkas telah diadakan semalam. Kak Nazrin, Mawar, dan saya telah diraikan. Kami diberi peluang untuk menyampaikan sedikit sepatah dua kata sebelum meninggalkan Insitut. Kami telah diberi hadiah, sebagai tanda penghargaan kepada kerja kami sepanjang di Institut. Nak tengok hadiah apa, boleh baca di blog Mawar.


Ucapan saya agak panjang sikit.

Akhir kata, saya memohon maaf kepada staf-staf di Insitut, atas kesalahan saya yang dilakukan, dengan sengaja atau tidak, yang mengguris hati secara langsung atau tidak.

Terima kasih, terima kasih, terima kasih, atas tunjuk ajar, bimbingan, nasihat dan teguran, sepanjang saya di sini, telah banyak mengajar saya, erti sebenar bekerja dalam satu pasukan.

Terima kasih yang paling.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.

Monday, January 25, 2010

Menikmati manisnya persahabatan


Kecerahan yang jelas lagi nyata. Munirah menahan panas terik mentari.

Setiap yang mula pasti ada akhirnya, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Kata orang bijak pandai, nilai sesuatu perkara itu akan dapat kita rasai / hargai apabila ia tiada lagi dalam genggaman. Kata orang putih "You don't really know what you got till it's gone".

Rasa seronok bekerja dengan rakan-rakan yang "happening" semakin sampai ke penghujung. Saya rakamkan sedikit aktiviti-aktiviti di penghujung waktu kita masih lagi dihubungkan dengan ikatan sebagai rakan sekerja.

Munirah seperti biasa, bertindak sebagai perancang "planner".

Munirah : Mirul, ko nak pergi makan ikan bakar tak? Kat Muara Sungai Duyung, petang ni lepas kerja.
Amirul : Aku ade kelas ler malam ni.
Munirah : Alaa, kelas ko abes lambat, takpe

Dengan kekalutan Artika yang akan menerima perabot baru di rumahnya.

Artika : "Alaar, camner nie, mak aku tak kasi pegi la.."

Akhirnya, walau apa pun, dengan semangat setiakawan, kita semua dapat berkumpul di Muara Sungai Duyung, meraikan Cik Mawar yang akan meninggalkan Biotek Melaka. Saya bakal menyusul selepas Cik Mawar.

Bila bab makan-makan, pastinya Munirah watak yang paling menonjol. Haha.. Gurau-gurau jer Mun.



Terima kasih kepada rakan-rakan sekalian. Terima kasih yang paling. Allah jua yang akan membalas anda semua dengan Rahmat dan Kasih SayangNya.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.

Saturday, January 23, 2010

Semalam, Jumaat yang tenang


Dari kiri : Arina, Kak Ida, Artika, Sabrina dan Nazri. Staf penyelidik yang rajin.

Teka-teki samada Prof Niyang Rapik datang ke ofis ataupun tidak, telah terjawab. Tenang seketika suasana di pejabat. Ketenangan yang sungguh mendamaikan staf-staf di Institut penyelidikan ini. Sungguh tenang keadaan di pejabat sehingga mencetuskan keinginan staf-staf penyelidik untuk bersarapan Mee Bandung di Durian Tunggal. Hehe..

Saya seperti menghabiskan sisa-sisa masa berkhidmat disini sebagai Pegawai Sains. Kadang-kadang saya berasa sedih dengan masa depan Institut ini. Institut yang diketuai oleh Penasihat yang tiada langsung kefahaman tentang menghormati orang lain.

Walaupun begitu, dalam perbualan dan perbincangan dengan rakan-rakan yang bekerja di organisasi lain, saya biasanya akan bertemu dengan rakan-rakan yang menceritakan betapa organisasi tempat mereka bekerja mempunyai masalah yang begitu teruk. Bunyinya seperti lebih teruk dari Institut tempat saya bekerja ini.

Benarlah, Allah memberikan beban apa yang mampu ditanggung oleh hambaNya.


Imej kredit kepada zureens.blogspot.com.
 
Jumaat semalam, tiada bacaan Yasin di pagi hari, seperti yang dilakukan pada minggu lepas. Tak tahu kenapa.

Suasana di makmal Institut ini semakin lengang dengan staf penyelidik. Dan saya boleh bayangkan, ia akan lebih lengang apabila ibu-ibu bakal mengambil cuti bersalin. Wahh!! Makin ramai anak buah. Tahniah kepada ibu-ibu di Institut ini.

Sayu hati bila mengenangkan saya bakal meninggalkan tempat yang banyak membantu dalam perjalanan kerjaya saya. : (

Sekali lagi doa saya, moga Allah bersihkan Institut ini dari tangan-tangan orang yang sombong dan zalim. Ameen.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.

Thursday, January 21, 2010

Minta kebenaran untuk bernikah


(Gambar hiasan) Banyak prosedur ke arah perkahwinan.

Setelah bertungkus lumus menyediakan beberapa dokumen sokongan untuk borang kebenaran nikah, saya baru dapat hantar borang permohonan kebenaran nikah pagi Khamis semalam. Alhamdulillah. Ada beberapa perkara yang saya nak ceritakan dalam entri ini, berkenaan dengan borang permohonan kebenaran nikah ini. Tujuan saya, supaya bakal-bakal pengantin lain akan lebih bersedia. Dan juga, untuk mengetahui dari respon pelawat tentang prosedur Nikah Kahwin Rujuk di negeri masing-masing.

Bagi Negeri Melaka, setelah selesai kursus pra perkahwinan, pengantin lelaki hendaklah membeli borang permohonan nikah kahwin di Pejabat Agama JAIM (Jabatan Agama Islam Melaka) di kompleks JAIM di hadapan Masjid Al-Azim.
  • Harga borang RM1
  • Yuran pemprosesan borang RM5
  • Borang kebenaran nikah hendaklah diisi paling awal 3bulan sebelum pernikahan, paling lewat 14hari sebelum pernikahan.
Saya dengar dari kursus pra perkahwinan yang lalu, borang permohonan kebenaran nikah ini akan diproses dalam masa sehari, tapi semalam saya diberitahu Isnin petang minggu hadapan baru siap proses dan barulah saya boleh mendapatkan surat kebenaran nikah.

Surat kebenaran nikah ini kemudiannya, saya akan hantar ke pengantin perempuan untuk pengantin perempuan sertakan dalam borang permohonan nikahnya pula. Pengantin perempuan saya orang Kelantan, saya tak tahu prosedur permohonan kebenaran nikah di sana. Harapan saya, urusan di Kelantan dipermudahkan.

Ini perkara yang saya baru tahu, salinan kad pengenalan hendaklah difotostat dan dibesarkan imejnya.


Contoh pembesaran imej fotostat. Negeri lain saya tak tahu kena buat macam ini ke tak.

Nasib baiklah abah saya dah check dulu borang saya, kalau tak, fuhh.. penat jer nak kena buat semula.

Setakat ini dahulu yang saya dapat ceritakan. Bersambung pada entri yang akan datang.

What We Do In Life Echoes In Eternity

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka.