Sunday, July 18, 2010

Taman Botani Yang Cantik Menarik

Berjalan di atas jambatan yang tinggi. Sangat mengujakan.

Sabtu yang lepas, saya telah turut serta sebagai urusetia bagi aktiviti Pengukuhan Pasukan (Team Building) pelajar-pelajar tahun satu Fakulti Farmasi, UKM. Aktiviti tersebut telah dijalankan di Taman Botani, Putrajaya. Saya belum pernah pergi lagi ke Taman Botani Putrajaya sebelum ini.

Bila dah sampai Taman Botani ini, barulah saya tahu, betapa cantik dan menariknya Taman Botani Putrajaya. Pokok-pokok yang menghijau, dengan hiasan tumbuhan-tumbuhan di sepanjang jalan sungguh menyejukkan mata memandang.

Barulah saya tahu, adanya aktiviti berbasikal yang boleh dilakukan di Taman Botani ini. Untuk sewa basikal, kadar bayaran tiket ialah RM 4.00 sejam pada hujung minggu. Untuk hari biasa, tiket untuk sewa basikal ialah RM 2.00 sejam.

Sesi memanaskan badan (warm up).


Pelajar-pelajar tahun satu Fakulti Farmasi, UKM.

Memang satu pengalaman yang sangat menarik bagi saya yang pertama kali ke sini.

Dalam hutan, ada taman,
Dan dalam taman ada puterinya..


Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Saturday, July 17, 2010

Pertama Kali Menukar Tiub Motor

Pertama kali saya menukar tiub, tanpa belajar sebelum ini.

"Hehe, malu rasanya nak bercerita tentang pengalaman saya pertama kali menukar tiub motorsikal yang bocor". Pagi Jumaat, dalam perjalanan ke tempat kerja, tiba-tiba tayar motor belakang saya pancit. Fuhh.. alhamdulillah, selamat dari sebarang kecelakaan. Tapi sekarang masalahnya, kena tukar tiub tayar belakang.

Dalam kotak GIVI saya memang ada simpan alat-alat untuk membuka tayar dan saya simpan 1 tiub tayar. Lalu saya cuba untuk menukar tiub motor saya sendiri.

Haha.. Ini le first time saya tukar tiub. Sebelum ni saya tak pernah cuba.
Hasilnya? Tiub yang dah siap ditukar, tak boleh diisi angin, kerana tiub terkoyak. Kesan dari teknik umpilan tayar ke dalam rim salah. Jadi, nampaknya, terpaksalah saya panggil mekanik yang pernah tukar tayar motor saya di Maju Expressway beberapa bulan yang lalu.

Terpaksalah panggil mekanik. :D

Pengajaran buat saya dari peristiwa ini, bila dah ada alat-alat, berlatih / belajar dari awal.

Sediakan payung sebelum hujan.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Notakaki : Tukar tiub di tepi lebuhraya dicas RM 30. "Ape nak dikata."

Wednesday, July 14, 2010

Hujan Lebat Waktu Pulang

 Hujan lebat menyebabkan permukaan jalan hilang daya geseran.

"Apa masalah paling susah untuk penunggang motor macam saya?". Semestinya hujan lebat sewaktu menunggang motorsikal. Haaa *mengeluh*.. Petang tadi, hujan lebat sepanjang perjalanan balik dari Jalan Raja Muda Abdul Aziz, sehinggalah ke Bandar Baru Bangi. Bukan sekadar masalah pada basah kuyupnya pakaian, tetapi pada jatuhnya kadar penglihatan sewaktu di atas jalanraya.

Tambah meninggikan lagi risiko ialah keadaan jalan yang licin. Penunggang-penunggang motorsikal yang tiada bekalan baju hujan, terpaksa berteduh sebentar di bawah jejantas / tempat berteduh di tepi lebuhraya.

Sungguhpun hujan ini membawa banyak masalah, namun mari kita 'lihat' dari sudut yang lain. Pasti kita akan nampak sudut positif hujan ini. Subhanallah (Maha Suci Allah).

Dalam Surah As-Sajadah, Allah berfirman


أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّا نَسُوقُ ٱلۡمَآءَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلۡجُرُزِ فَنُخۡرِجُ بِهِۦ زَرۡعً۬ا تَأۡڪُلُ مِنۡهُ أَنۡعَـٰمُهُمۡ وَأَنفُسُہُمۡ‌ۖ أَفَلَا يُبۡصِرُونَ٢٧

27. Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahwasanya Kami menghalau (awan yang mengandungi) air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman yang daripadanya makan haiwan ternak mereka dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan?

Ampunkan kami Ya Allah, sungguh pada setiap yang berlaku itu, ada tanda-tanda kekuasaanMu.

Walaupun hujan lebat petang tadi, yang penting, saya selamat sampai ke rumah. :)

Sejuk angin malam ini, pasti nyenyak tidur. Jumpa lagi esok.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi.

Tuesday, July 13, 2010

Ramadan Semakin Hampir

Berdoa moga diberi kesempatan dan kekuatan menjalani Ramadan.

Mudah-mudahan Allah panjangkan umur kita untuk bertemu dengan Ramadan 1431H yang akan datang ini. Tulisan ini lebih kepada mengingatkan diri sendiri, supaya mula mencetuskan daya motivasi kearah melakukan kebaikan. Moga-moga dari daya yang yang sedikit tapi berterusan itu, terhasillah momentum yang bertambah. Harapannya, bila di bulan Ramadan nanti, dengan sedikit kuasa tambahan, akan menghasilkan pecutan.

Ibarat sebuah roket yang mahu dilancarkan ke angkasa lepas, pastinya pada permulaan pelancaran, jumlah tenaga yang diperlukan sangat besar, tetapi apabila sudah melepasi lapisan tarikan graviti bumi, hanya sedikit tenaga yang diperlukan untuk menggerakkan roket itu.


Lagu Manbai dan Raihan itu sungguh menginsafkan.

Bersedia semua, bulan penuh barakah itu semakin hampir.

Moga dapatku lenturkan nafsu yang selalu membelenggu diri, tiada henti-henti.

Amirul Faiz Abd. Razak
50300 Kuala Lumpur

p/s : Dijangka awal Ramadan ialah pada 11 Ogos 2010 (Rabu).

Saturday, July 10, 2010

Kedai ABC & Burger Ustad Razak

Abah tengah potong air batu guna gergaji.

Adik bongsu saya, Zul telah mula menolong warung roti yang berdekatan dengan rumah. Lama-kelamaan, Zul timbul pula minat untuk berniaga. Idea dari abah untuk mendirikan warung kecil-kecilan kampung bersebelahan dengan rumah. Idea dari mak, apa menu minuman dan makanan yang boleh dijual. Hasil usahasama abah, mak dan Zul, bermulalah warung ABC & Burger Klasik Ustad.

Meriah sungguh keadaan di hadapan rumah, dengan pelanggan terdiri dari orang kampung yang berdekatan, datang ke kedai membeli ABC dan Burger. 

Apa yang dijual di kedai ni? ABC, Cendol, Cendol Pulut, Burger Ayam / Daging, Roti John, Karipap Sayur / Telur. "Harga pula?" Semestinya berpatutan. :)

Zul membuat aksi seorang peniaga burger jalanan.

Mak turut membantu operasi kedai ABC & Burger Ustad Razak.
Isteri saya membantu menggentel karipap.


Kepada pembaca yang berkunjung ke Kampung Lereh, Tanjung Kling, carilah kedai ABC Ustad Razak ni. Selalunya pengunjung ke kampung ini menginap di Hotel Everly (dahulu dikenali Riviera Bay Resort) dan bermandi-manda di Pantai Puteri.

Kerana Pulut, Santan Binasa,
Kerana Cendol, Santan pun habis.

Mari minum ABC dan cendol di Kedai ABC & Burger Ustad Razak. :)

Amirul Faiz Abd. Razak
76400 Melaka

Friday, July 9, 2010

Ke Gua Musang Selepas 4 Bulan Bernikah

Deretan kedai di Rantau Panjang.

Minggu lepas, saya dan isteri berkesempatan untuk balik ke kampung isteri di Paloh 3, Gua Musang. Kesian pada isteri, rindu benar dia kepada kampung halaman, kepada abah umi dan adik-adik di kampung. Saya pula sibuk dengan kerja, dengan kelas separuh masa (part-time) MBA di UTeM, sukar sungguh mencari masa untuk balik ke kampung Gua Musang.

Perjalanan dari Bandar Baru Bangi seawal jam 6 pagi, kami tiba di Paloh 3 hampir pukul 12 tengahari. Sempatlah saya tidur sekejap sebelum ke Solat Jumaat di Masjid Paloh 3. Segan jugaklah nak tidur tengahari kat rumah mertua. Hehe..

Tujuan kami ke Kelantan sebenarnya hendak menziarahi dan berkenalan dengan saudara-mara sebelah isteri. Memandangkan ini masa yang ada, sebelum semester berikutnya bermula pada hujung Julai ini, kami nekad untuk balik Kelantan, walaupun untuk 3 hari sahaja.

Ada rakan yang kata, tak berbaloi balik kampung jauh-jauh, tapi cuti 3 hari jer. Tapi disebabkan itu sahaja waktu yang kami boleh balik ke kampung selepas 4 bulan bernikah, bagi saya, cuti 3 hari sudah memadai. Kalau boleh, memang nak cuti panjang, tapi minggu ini pelajar-pelajar prasiswazah dah mula mendaftarkan diri, kakitangan fakulti dimestikan berada di fakulti untuk diperkenalkan kepada pelajar-pelajar baru ini.

Gambar-gambar yang sempat saya rakam adalah semasa kami singgah di Rantau Panjang. Sedap dan murah satay ikan (isteri saya kata, orang Kelantan panggil "lo'ching"- hehe, saya tak tau sebutan yang betul dalam loghat Kelantan).
Abah mertua (berkopiah putih), Ummi mertua (bertudung biru cair), dan Isteri (bertudung hitam).


Lo'ching yang murah, 3cucuk RM1.

Bila berjalan tempat orang, barulah saya dapat memahami sedikit cara orang di sana 'melihat' (paradigma).

Kepada isteri tersayang, "raya tahun ni beraya di Melaka yer".. Hehehe.. (ada unsur penggunaan kuasa veto) :D

Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan.

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi

Thursday, July 8, 2010

Pegang Kuat-kuat, Nak Sembelih Arnab

Dengan nama Allah yang Maha Besar.
Mengingat kembali pengalaman pertama saya menolong dalam proses penyembelihan arnab, sungguh mengujakan. Di kampung, saya selalu tolong abah sembelih ayam, abah yang sembelih, saya tukang pegang ayam supaya tak meronta-ronta masa sembelih. Itu waktu dulu-dulu, waktu abah ada bela ayam kampung, waktu dulu susah, kedai sembelih dan proses ayam pun tak banyak, sekarang dah senang. Tangkap jer ayam, bawa pergi kedai sembelih dan proses, senang.

Di makmal, Pak Madi menjalankan projek penyelidikan menggunakan arnab. Arnab-arnab diberi suntikan lipid (lemak sayuran). Maklumat terperinci tentang penyelidikan tersebut, saya tak dapat jelaskan.

Setelah sampai satu ketika, projek penyelidikan Pak Madi telah tamat, arnab-arnab tadi masih diberi makan seperti biasa. Sehinggalah, Pak Madi dapati, pelet makanan untuk arnab-arnab tadi tidak mencukupi, dan berat seekor arnab telah mencecah hampir 2kg.

Keputusan yang diambil, daripada membiarkan arnab-arnab itu mati kebuluran, lebih elok kita sembelih dengan nama yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Allahu Akbar. Moga Allah merahmati kita semua.

Hj. Baharom, dibantu dengan Pak Madi, Syazwan, dan saya, telah menyembelih 7 ekor arnab. Hj. Baharom telah membuat rendang, daging arnab itu. Alhamdulillah, Terima Kasih Allah kerana memberi kami nikmat merasai sedapnya daging arnab.

Mari renungkan sejenak.

Ada yang tak sanggup nak makan daging arnab itu, kerana kesian melihat arnab yang comel itu disembelih.

Ada yang tak sanggup nak bela anak luar nikah, lalu dibunuh bayi yang comel itu. Hmm...

Amirul Faiz Abd. Razak
43650 Bandar Baru Bangi