Monday, March 28, 2011

Penantian Suatu Kelahiran

Isteri dengan anak saudara.

Pertama sekali, alhamdulilah, penantian kami, semakin ke penghujung. Bukan sedikit cabarannya. Pelbagai rintangan dihadapi, menanti anugerah Ilahi yang tidak ternilai ini.

Pengalaman yang amat bernilai.
Di minggu-minggu awal kehamilan, pasangan muda seperti kami termangu-mangu apa yang patut kami lakukan. Bercampur baur rasa, rasa takut, cemas, berdebar-debar kami hadapi cabaran alam keibubapaan.

Ujian-ujian di sepanjang minggu-minggu kehamilan, sedikit sebanyak menggoncang ikatan cinta kami suami isteri. Bila diuji sebegini, barulah kami kenal dengan sedalam-dalamnya kelemahan diri sendiri. Barulah saya benar-benar merasai dan asyik dengan manisnya kasih sayang isteri. Memetik lirik lagu Maher Zain, "I thank Allah for sending me, you my love."

Kelemahan demi kelemahan.
Rasa kasih kepada isteri bertambah-tambah, apabila melihat isteri dengan penuh sabar menjalankan kerja rumah, dengan perut yang makin membesar, dengan timbulnya kesan-kesan terik (stretch mark). Duduk tak senang, baring pun tak senang, anak bergerak-gerak dalam perut isteri.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Surah Luqman, Ayat 14.

Ya Allah, ringankanlah beban yang ditanggung isteriku dalam melahirkan anak ini. Ameen.

Anak sulung kami dijangka akan lahir pada 16 April 2011.